Keyakinan pelabur kekal kukuh

Keyakinan pelabur kekal kukuh

Kuala Lumpur: Pelaburan diluluskan sebanyak RM254.7 bilion untuk sembilan bulan pertama 2024, menekankan keyakinan kukuh pelabur terhadap dasar dan hala tuju ekonomi Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul dalam satu kenyataan hari ini berkata, pertumbuhan 10.7 peratus tahun ke tahun dan penciptaan lebih 159,000 peluang pekerjaan menggambarkan rangka kerja strategik Malaysia dan usaha bersepadu kerajaan untuk menarik pelaburan berimpak tinggi bagi pertumbuhan mampan.

Konsistensi dasar dan kebolehsuaian Malaysia telah menggalakkan pelabur untuk melaksanakan komitmen jangka panjang dan melengkapkan negara dengan kapasiti untuk mengemudi cabaran global yang sentiasa berubah dengan berkesan.

“Malaysia, dalam perjalanan mencapai matlamat untuk menjadi salah satu daripada 30 negara global teratas menjelang 2033, Kerajaan MADANI kekal dalam komitmennya untuk memupuk persekitaran supaya pelabur domestik dan antarabangsa boleh berkembang maju.

“Fokus kami melangkaui pencapaian sasaran pelaburan; kami meletakkan asas untuk ekonomi mampan dan inklusif yang akan memperkasakan semua rakyat Malaysia,” kata Tengku Zafrul.

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Malaysia berjaya merekodkan jumlah pelaburan diluluskan sebanyak RM254.7 bilion dalam 9M2024 membabitkan 4,753 projek, yang dijangka menjana 159,347 peluang pekerjaan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, agensi itu komited untuk memastikan pelaburan ini diterjemahkan kepada manfaat ekonomi yang ketara, peluang pekerjaan berkualiti dan kemakmuran jangka panjang.

MIDA menyaksikan nilai luar biasa daripada pelaburan diluluskan dalam sembilan bulan pertama 2024, mencerminkan komitmen strategiknya untuk membina ekonomi yang didorong oleh inovasi berkembang maju.

“Pertumbuhan berterusan dalam pelaburan domestik menunjukkan keyakinan kukuh perniagaan tempatan terhadap ekosistem pelaburan Malaysia yang mantap. Memandangkan sudah menghampiri penghujung tahun, keutamaan MITI dan MIDA kekal tertumpu kepada meningkatkan daya saing Malaysia dalam pasaran global yang sentiasa berkembang,” katanya.

Sektor perkhidmatan terus memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan pelaburan diluluskan sebanyak RM160.7 bilion atau 63.1 peratus daripada jumlah kelulusan, ia dijangka mewujudkan 100,914 pekerjaan baharu.

Pelaburan domestik memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ini, menyumbang RM121.5 bilion, atau 75.6 peratus.

Pelaburan asing menyumbang RM39.2 bilion, mewakili 24.4 peratus.

Sektor yang mencatatkan prestasi terbaik adalah maklumat dan komunikasi (ICT) pada RM71.1 bilion, hartanah (RM48.8 bilion), perkhidmatan sokongan (RM10.3 bilion), perdagangan pengedaran (RM8 bilion) dan utiliti (RM6.8 bilion).

Sektor pembuatan kekal penting dalam pertumbuhan perindustrian, menarik RM88.8 bilion pelaburan diluluskan pada sembilan bulan pertama 2024 dengan pelaburan asing mendahului, menyumbang RM66.9 bilion (75.4 peratus) manakala pelaburan domestik menyumbang RM21.9 bilion (24.6 peratus).

MIDA berkata sektor itu mempunyai keupayaan untuk menarik modal asing yang besar dan memupuk keusahawanan domestik.

Pelaburan diluluskan melibatkan 800 projek, dijangka mewujudkan 58,017 peluang pekerjaan dengan 81.2 peratus (47,112 pekerjaan) khusus untuk rakyat Malaysia.

Kedah, Kelantan, Perlis, Terengganu, Sabah, dan Sarawak menarik sebanyak 81 projek (RM41.9 bilion), peningkatan 39.6 peratus tahun ke tahun.

Sementara itu, industri Elektrik dan Elektronik (E&E) mendominasi dengan pelaburan diluluskan berjumlah RM47 bilion dengan subsektor semikonduktor menyumbang lebih 90 peratus daripada pelaburan E&E.

Industri utama lain ialah kimia dan produk kimia (RM7 bilion), peralatan dan pengangkutan (RM7 bilion), jentera dan kelengkapan (RM6.3 bilion) dan produk mineral bukan logam (RM4.2 bilion).

Sektor utama terdiri daripada perlombongan, pertanian, perladangan dan komoditi merekodkan RM5.2 bilion atau 2.0 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan melibatkan 44 projek, berikut adalah jumlah setiap sektor – perlombongan (RM4.5 bilion), pertanian (RM675.7 juta) dan perladangan dan komoditi (RM19.1 juta).

Sehingga kini, MITI dan MIDA telah menjalankan 15 misi luar negara peringkat tinggi dan sehingga 7 November 2024, MIDA sedang melaksanakan 1,477 cadangan projek bernilai RM62 bilion dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.

Selain itu, MIDA sedang berbincang dengan bakal pelabur untuk pelaburan berpotensi tinggi bernilai RM70.6 bilion.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top