rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan, Datuk Seri Hazani Ghazali yang bersara diraikan dalam Majlis Paluan Berundur di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, petang ini.
Hazani, 60, yang berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 38 tahun, bersama isteri, Datin Seri Fadziah Abdul Hamid tiba di pentas khas hadapan padang kawad Pulapol kira-kira jam 5.15 petang.
Majlis turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Pengarah Pengurusan PDRM, Datuk Abdul Aziz Abdul Majid.
Hadir sama Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) yang juga isteri Razarudin, Puan Sri Zainah Othman serta Naib Pengerusi Perkep, Datin Seri Zalena Mohd Ariffin.
Kira-kira 500 tetamu kehormat, peserta perbarisan, pegawai kanan dan warga PDRM hadir pada majlis berkenaan.
Majlis dimulakan dengan perarakan dan persembahan pasukan pancaragam Pusat PDRM dan deklamasi sajak.
Kemeriahan majlis disambung dengan Hazani mempamerkan bakatnya memimpin kumpulan pancaragam itu dengan memainkan lagu kegemarannya, ‘Street Of Dreams’ nyanyian Rainbow.
Majlis diakhiri dengan Hazani bersama isteri dan tiga anak, menantu serta cucunya kemudian dibawa menaiki kenderaan istiadat polis meninggalkan acara itu.
Hazani berasal dari Machang, Kelantan, menyertai PDRM pada 1988 dan pernah menjawat pelbagai jawatan penting antaranya Komander ESSCOM, Pesuruhjaya Polis Sabah serta Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit
Aman.
Bekas graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) itu juga pernah melakar beberapa kejayaan sepanjang perkhidmatan antaranya menumpaskan ancaman berkaitan militan dan keganasan terutamanya di timur perairan Sabah melalui operasi bersepadu dengan agensi keselamatan lain.
Beliau juga memainkan peranan besar dalam menangani ancaman pencerobohan, penyeludupan dan jenayah rentas sempadan selain memperkukuh keselamatan negara, menangani ancaman keganasan serta mengetuai operasi membanteras jenayah rentas sempadan.
© New Straits Times Press (M) Bhd