TUNIS: Mahkamah Tunisia menjatuhkan hukuman penjara tambahan kepada ketua parti pembangkang negara itu, Rached Ghannouchi yang kini dipenjara dan pernah menjadi saingan utama Presiden Kais Saied.
Ghannouchi yang telah berada dalam tahanan sejak April 2023, dijatuhi hukuman tambahan 22 tahun penjara atas pelbagai tuduhan, termasuk ‘mengancam keselamatan negara’.
Ini merupakan hukuman paling berat yang dikenakan ke atas pemimpin pembangkang itu, yang sebelum ini telah dipenjara atas tuduhan menerima dana asing secara tidak sah dan ‘keganasan’.
Mahkamah juga menjatuhkan hukuman ke atas beberapa tokoh lain dari partinya, Ennahdha, termasuk ahli keluarga serta wartawan yang bekerja untuk sebuah syarikat penerbitan kandungan digital ‘Instalingo’.
Daripada puluhan individu yang terlibat dalam kes ini, 17 telah dipenjarakan, dan hukuman yang dijatuhkan semalam itu berkisar antara lima hingga 37 tahun, menurut peguam.
Tuduhan yang dikenakan termasuk ‘mengancam keselamatan negara dan ‘menyertai kumpulan yang bertujuan mengubah bentuk pemerintahan negara serta melakukan permusuhan terhadap presiden’.
Antara tertuduh ialah anak lelaki Ghannouchi, Mouadh, serta anak perempuannya, Soumaya dan menantunya, Rafik Abdessalem yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Tunisia antara 2011 hingga 2013.
Masing-masing dijatuhi hukuman 35, 25 dan 34 tahun penjara.
Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Hichem Mechichi dijatuhi hukuman 35 tahun penjara, manakala wartawan Chahrazed Akacha dihukum 27 tahun penjara. Kedua-duanya hukuman diputuskan secara ‘in absentia’ (tanpa kehadiran tertuduh). – AGENSI