Ketua kerajaan negeri ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri

Ketua kerajaan negeri ucap Selamat Hari Raya Aidilfitri

Kuala Lumpur: Ketua-ketua kerajaan negeri mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di seluruh negara dan mengajak rakyat supaya terus menjaga dan mengukuhkan silaturahim.

Di SELANGOR, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari mengajak umat Islam meneruskan segala amal kebajikan seperti menyantuni golongan fakir miskin dan anak yatim serta mereka yang kurang bernasib baik seiring dengan kejayaan menyempurnakan ibadah puasa dan sambutan Aidilfitri esok.

Beliau berkata, amalan sifat kesederhanaan wajar dihayati dan ditampilkan menerusi tingkah laku dan akal budi agar nilai akhlak baik itu dapat diwarisi oleh anak-anak, seterusnya melahirkan generasi berakhlak mulia dan bertamadun.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berharap cuti umum tiga hari sempena Aidilfitri dapat dimanfaatkan sebaiknya oleh seluruh warga Melaka dalam meraikan Syawal bersama keluarga terutama yang pulang daripada perantauan.

“Bukan itu saja, marilah kita sama-sama meraikan Majlis Rumah Terbuka MADANI peringkat nasional yang akan diadakan di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) pada 5 April depan yang akan dihadiri Yang Dipertuan Negeri Melaka dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta barisan kepimpinan kerajaan MADANI,” katanya.

Di PAHANG, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri menyeru masyarakat mengukuhkan ikatan persaudaraan, mengeratkan silaturahim, serta menyubur nilai kasih sayang dan perpaduan.

“Bagi mereka yang pulang ke kampung halaman, berhati-hatilah di jalan raya dan utamakan keselamatan diri serta keluarga. Saya juga menyeru agar kita tidak lupakan golongan yang memerlukan dalam kita menyambut kegembiraan ini,” katanya.

Di TERENGGANU, Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru rakyat di negeri itu supaya menggunakan ruang lebaran yang mulia untuk kunjung-mengunjungi bagi merapatkan lagi silaturahim, saling memaafkan dan melupakan segala sengketa.

“Marilah kita sama-sama memberi perhatian kepada mereka yang kurang bernasib baik, terutama pada musim perayaan ini, termasuk saudara-saudara kita di bumi Palestin. Semoga Aidilfitri kali ini membawa sejuta rahmat dan keberkatan kepada kita semua. Saya juga mendoakan agar Terengganu terus maju dan berjaya serta rakyatnya sentiasa dalam kesejahteraan dan keamanan,” katanya.

Di KEDAH, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pula mengingatkan anak-anak Kedah di perantauan yang pulang berhari raya di kampung halaman supaya menjaga keselamatan di jalan raya bagi mengelakkan kemalangan pada musim perayaan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top