Keterangan saksi 1MDB hanya dengar cakap – Peguam bela

Keterangan saksi 1MDB hanya dengar cakap – Peguam bela

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, mahkamah tidak sepatutnya mengambil kira keterangan saksi-saksi pendakwaan dalam kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana semuanya adalah keterangan ‘dengar cakap’ yang tidak dapat disahkan.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dalam hujahannya berkata, keterangan dengar cakap itu membabitkan ‘arahan’ daripada bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib iaitu Allahyarham Datuk Azlin Alias dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low).

Azlin meninggal dunia dalam nahas helikopter pada 2015 iaitu tiga tahun sebelum Najib didakwa di mahkamah atas tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dalam kes melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

Muhammad Shafee berkata demikian dalam hujahan di akhir kes pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Merujuk kepada keterangan bekas Pegawai Khas Najib iaitu Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, saksi itu sendiri beberapa kali meragui sama ada arahan diberikan oleh Azlin sememangnya dalam pengetahuan Najib.

Hujahnya, Amhari mendakwa Azlin dan Jho Low bertindak bagi pihak bekas Presiden Umno itu tetapi kesahihan ‘tindakan’ itu tidak dapat disahkan kerana Azlin sudah meninggal dunia, manakala Jho Low tidak diketahui keberadaannya.

Amhari dalam keterangannya di mahkamah sebelum ini berkata, Azlin mengesahkan bahawa Najib memberi kuasa kepada Jho Low untuk bertindak dan menyelaras perkara melibatkan 1MDB.

Selain Amhari, Muhammad Shafee berkata, terdapat beberapa saksi lain yang memberi keterangan bahawa komen dan arahan Azlin adalah terus daripada Najib sendiri.

Saksi-saksi itu ialah bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd. Hazem Abd. Rahman.

Sehubungan itu, kata Muhammad Shafee, mahkamah perlu memadam semua keterangan saksi-saksi pendakwaan itu yang menyatakan mereka menerima arahan daripada Azlin atau Jho Low kerana ia adalah ‘keterangan dengar cakap’ yang teruk dan memprejudiskan anak guamnya.

Selain itu, peguam itu menyatakan, terdapat banyak keterangan oleh saksi mengenai ‘arahan’ dibuat oleh Azlin kononnya datang daripada Najib sebagai pembuat keputusan bagi urus niaga berkaitan 1MDB.-UTUSAN

Scroll to Top