Kesilapan pasukan tahap 'kampung' – Jamal Nasir

Kesilapan pasukan tahap 'kampung' – Jamal Nasir

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Legenda bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir Ismail sifatkan kesalahan yang dilakukan PDRM FC dengan menurunkan pemain digantung dalam aksi final pertama Piala Cabaran minggu lalu sebagai kesilapan pasukan tahap ‘kampung’.

Katanya, ketika Liga Malaysia (Liga M) sudah memasuki era profesional, kesilapan kecil seperti itu seharusnya tidak wajar berlaku.

“Dalam undang-undang, dari awal lagi sudah beritahu dua kad kuning tidak boleh diturunkan. Takkanlah pasukan tidak tahu undang-undang. Benda mudah macam ini takkan tak boleh nak uruskan. Macam pasukan kampung.

“Jurulatih kena tahu siapa yang boleh diturunkan atau tidak. Barisan kejurulatihan perlu periksa setiap pemain sama ada mereka ada mengutip kad kuning berturut-turut atau kad merah. Ketepikan mana yang ada kad dan yang tiada boleh disenaraikan untuk beraksi.

“PDRM patut menyalahkan diri sendiri dan kena terima hakikat ini tanpa perlu menyalahkan orang lain. Tak timbul langsung isu penganiayaan dalam hal ini,” katanya.

Ujarnya lagi, kesan daripada hukuman itu pastinya menjejaskan moral dan motivasi pemain.

“Macam mana kalau aksi pertama tempoh hari PDRM yang menang? Namun, semuanya sudah terlambat. Pengurusan perlu lebih profesional,” katanya.

Semalam, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan menjatuhkan hukuman kepada PDRM FC yang didapati bersalah menurunkan pemain yang tidak berkelayakan pada final pertama Piala Cabaran minggu lalu.

Menerusi keputusan jawatankuasa itu, pasukan Selangor FC dihadiahkan kemenangan 3-0 dan membatalkan keputusan 3-2 yang diraih Red Giants, sekali gus memberi agregat lebih besar.

Ini bermakna, skuad Sang Saka Biru perlu mencari empat gol untuk memadam kelebihan Selangor FC dalam aksi final kedua di Stadium Majlis Bandaraya Petaling.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top