am@hmetro.com.my
Manama, Bahrain: Keadaan kesihatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertambah baik selepas selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ (otot dan tulang) di luar negara.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkesempatan menghadap Sultan Ibrahim ketika lawatan rasminya di Bahrain berkata, keadaan baginda jauh lebih baik berbanding sebelum menerima rawatan.
“Saya diperkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong dua kali dan Alhamdulillah rawatan di peringkat awal itu nampak berhasil walaupun (masih) harus dipantau.
“Kesihatan baginda jauh lebih baik dan oleh itu sebelum meneruskan rawatan berikutnya, baginda putuskan untuk pulang (ke tanah air) dahulu. Insya-Allah meneruskan rawatan jika perlu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengakhiri lawatan rasmi di Bahrain atas jemputan Putera Mahkota Sheikh Salman Hamad Al Khalifa.
Pada 7 Februari lalu, Istana Negara dalam kenyataan memaklumkan Seri Paduka Baginda berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.
Mengiringi Baginda, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
Istana Negara kemudian dalam kenyataan susulan memaklumkan Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ (otot dan tulang) di luar negara dan dijangka berangkat pulang ke Malaysia Jumaat ini.
Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan pelantikan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) yang baharu, Anwar berkata, perkara berkenaan sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Ya tetapi seperti mana yang saudara tahu, sehingga hal ini disahkan, kita akan umumkan (nanti),” katanya.
Pada 8 Februari lalu, Duta Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan tempoh perkhidmatannya selama dua tahun sudah berakhir.
Beliau menyatakan pelantikannya adalah secara politik dan bukan diplomat kerjaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd