Kesihatan saya masih okey – Anthony

Kesihatan saya masih okey – Anthony

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan keadaan kesihatannya masih eloak biar pun berdepan situasi cemas pada sesi pagi sidang Dewan Rakyat hari ini.

Setiausaha Agung DAP berkata, keadaan di mana beliau yang semput ketika menjawab sesi pertanyaan lisan disebabkan beliau terpaksa berlari ke Dewan Rakyat ekoran tersekat dalam kesesakan jalan raya pagi tadi.

“Apabila sampai di bangunan Parlimen, sesi sudah dimulakan dengan bacaan doa. Jadi saya bergegas untuk memasuki Dewan Rakyat dan apabila saya memasuki dewan, soalan telah ditanya.

“Maka saya ambil kertas jawapan dan baca, belum sempat tarik nafas lega, saya tidak dapat membaca dengan sempurna dan terpaksa berhenti seketika dan minta timbalan saya menjawab,” katanya dalam sidang media hari ini.

Anthony dilihat semput apabila menjawab soalan dikemukakan Wong Chen (PH-Subang), soalan pertama mengikut Aturan Mesyuarat sebelum tiba-tiba batuk, tercungap-cungap dan memohon diberikan sedikit masa untuk menenangkan dirinya.

Keadaan itu menyebabkan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) meminta Anthony berehat dan menggesa menjalani pemeriksaan di hospital.

Dalam pada itu, beliau menafikan kejadian pagi tadi  disebabkan oleh masalah kesihatannya terganggu.

“Bukan sebab masalah kesihatan, jadi saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan semua sebab ramai yang ingat saya pengsa tadi dan dimasukkan ke hospital,” katanya lagi.

Anthony berkata beliau akan membuat pemeriksaaan kesihatan penuh esok bersama doktornya. – MalaysiaGazette