Keseronokan berjudi terbantut, 14 lelaki ditahan

Keseronokan berjudi terbantut, 14 lelaki ditahan

am@hmetro.com.my

Seremban: Keseronokan 14 lelaki bermain judi holo di sebuah rumah di Taman Seri Binjai, di sini terbantut apabila diserbu polis semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, serbuan pada 12 tengah malam itu dilakukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) dan menahan kesemua suspek yang berusia 34 hingga 62 tahun.

“Pihak polis turut merampas meja yang mempunyai lukisan perjudian holo, dua dadu, satu piring seramik, satu mangkuk seramik, 12 kerusi serta rampasan wang tunai berjumlah RM19,168.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan kesemua tangkapan dibenarkan tahanan reman selama tiga hari untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, sekiranya didapati bersalah boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada orang ramai kerana menyalurkan maklumat berkenaan kes ini dan dinasihatkan agar terus memberikan kerjasama kepada polis agar jenayah ini dapat ditangani,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top