nfazlina@nstp.com.my
Kota Bharu: Tindakan tegas pihak polis yang memperketat sempadan dengan akan menahan mereka yang merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram bermula 1 Disember ini, adalah tindakan tepat, kata Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK), Aiman Yusri.
Menurutnya, tindakan itu adalah yang terbaik sekiranya pihak berkuasa benar-benar mahu menangani masalah penyeludupan di sempadan.
Katanya, walaupun pihak berkuasa tidak mampu menyelesaikan sepenuhnya masalah sempadan, namun sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan aktiviti penyeludupan yang semakin membimbangkan.
“Memang kita akui ratusan pelajar akan terjejas memandangkan mereka tinggal di Golok, Thailand namun bersekolah di Rantau Panjang. Namun sekiranya tindakan tidak diambil dari sekarang, jumlah pelajar yang menggunakan pangkalan haram, semakin lama semakin bertambah.
“Memang kita kasihan kepada mereka namun soal keselamatan perlu diberi keutamaan kerana aktiviti penyeludupan semakin membimbangkan.
“Malah, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi kenyataannya juga bersedia membuka kaunter lebih awal dan sepatutnya perkara itu tidak perlu dijadikan alasan lagi kerana tindakan diambil berserta jalan penyelesaian,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, sekiranya pihak berkuasa memberikan kelonggaran kepada pelajar dan murid sekolah daripada terus menggunakan pangkalan haram, tidak mustahil penyeludup juga akan menyamar dengan berpakaian sekolah selepas ini.
“MTRK menyokong penuh tindakan yang diambil Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dan kita juga berharap pengumuman yang dibuat sekadar melepaskan batuk di tangga.
“Saya yakin tindakan yang dibuat juga memberi amaran kepada penyeludup di sempadan selain yakin banyak kes penyeludupan dapat ditangani selepas ini,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok, setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.
Tinjauan mendapati, seawal 6.30 pagi, mereka sudah mula menunggu bot untuk ke Malaysia dengan caj bot dikenakan RM1 bagi pelajar sekolah.
Lima pangkalan haram yang menjadi tumpuan pelajar sekolah termasuk pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun.
© New Straits Times Press (M) Bhd