KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri berpandangan (MITI) risiko kesan negatif terhadap prestasi eksport semikonduktor ke Amerika Syarikat (AS) berikutan pelaksanaan tarif oleh Presiden AS Donald Trump adalah minimum buat masa ini.
Menteri berkenaan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pada masa ini kenaikan tarif yang dikenakan adalah kepada beberapa negara tidak termasuk Malaysia.
“Selain itu, rekod pelaburan juga menunjukkan pelaburan dari AS masih kukuh dan merupakan antara pelabur terbesar. Pada suku ketiga 2024, jumlahnya sebanyak RM5.1 bilion,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) yang meminta MITI menyatakan langkah kerajaan dalam menangani isu geopolitik dan ketidaktentuan perdagangan dunia, khususnya kemungkinan kenaikan tarif yang akan memberi kesan terhadap eksport Malaysia terutamanya ke AS.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia juga telah menandatangani memorandum kerjasama dengan AS berkaitan ketahanan rantaian bekalan pada 10 Mei 2022.
Menurutnya usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memastikan rantaian bekalan semikonduktor yang kukuh dan berdaya tahan serta memperkukuh hubungan ekonomi dan strategik antara Malaysia dan AS.
“Justeru, kementerian yakin pelabur-pelabur sedia ada daripada AS akan kekal berada di Malaysia dan terus berkembang bagi memperkukuh rantaian bekalan global mereka,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, AS adalah rakan dagang Malaysia yang ketiga terbesar bagi 2024, dengan jumlah perdagangan mencatat RM324.9 bilion, bersamaan 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.
“Eksport ke AS berjumlah RM198.6 bilion, bersamaan 13.2 peratus daripada jumlah eksport Malaysia manakala import dari AS mencapai RM126.3 bilion, bersamaan 9.2 peratus daripada jumlah import Malaysia.
“Dari segi pelaburan pula, AS adalah antara pelabur terbesar dan sehingga kini, Malaysia telah menjadi destinasi pilihan pelaburan untuk lebih 600 syarikat AS,” katanya.
Menurut Tengku Zafrul, sehubungan itu, kerajaan sedang berusaha mengambil langkah proaktif untuk mengekalkan serta mengeratkan lagi hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala yang baik dan dinamik dengan AS supaya tidak dikenakan kenaikan tarif seperti yang berlaku kepada China, Kanada dan Mexico.
Kerajaan akan memastikan Malaysia kekal sebagai rakan dagang dan pelaburan yang boleh dipercayai oleh semua rakan dagangnya termasuk AS, katanya.
“Ini termasuklah melalui ekosistem pelaburan yang kondusif dan mesra pelabur, peraturan kawalan eksport dan pengurusan perdagangan strategik yang efektif serta pematuhan piawaian antarabangsa yang meyakinkan pelabur,” katanya. – Bernama