Kes Wan Saiful: Wang RM46,487.85 dimasukkan ke akaun bank sebuah syarikat

Kes Wan Saiful: Wang RM46,487.85 dimasukkan ke akaun bank sebuah syarikat

Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu sejumlah RM46,487.85 telah dimasukkan ke dalam akaun bank sebuah syarikat menerusi pindahan wang pada November 2022.

Pengurus Khidmat Pelanggan dan Operasi Hong Leong Bank Cawangan Taiping, Ong Jen Ne, 54, mengesahkan transaksi kemasukan wang berkenaan ketika merujuk penyata bank bagi akaun Hong Leong Bank atas nama Good Square Sdn Bhd bertarikh 1 November hingga 30 November 2022.

“Merujuk kepada dokumen ini, saya sahkan terdapat transaksi kemasukan wang ke dalam akaun ini daripada bank berlainan iaitu 8 Nov 2022 melalui pindahan wang dengan butiran urusniaga Cr Adv-Interbank (GIRO) at KLM INV01364000004-BMGS WAN SAIFUL & ASSOCIATES SDN BHD berjumlah RM46,487.85,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-18 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Diana Nor Azwa pada perbicaraan kes bekas Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan, yang berhadapan 18 pertuduhan pengubahan wang haram dan dua pertuduhan rasuah berhubung projek Jana Wibawa.

Ong juga mengesahkan akaun bank itu dibuka di Hong Leong Bank Berhad Cawangan Taiping pada 16 Mei 2014 dan akaun itu hanya memerlukan satu daripada dua penandatangan.

Kepada soalan peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful sama ada terdapat arahan daripada pihak berkuasa untuk membekukan akaun bank berkenaan, Ong menjawab, “tidak.”

Disoal Nor Diana mengapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya merujuk transaksi bertarikh 8 November 2022 itu, saksi menjawab,”untuk siasatan”.

Sebelum ini, Wan Saiful didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM46,487.85 ke akaun Hong Leong Bank milik Good Square Sdn Bhd.

Wan Saiful, 49, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.

Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan SST bagi projek terbabit.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 September 2022.

Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu, antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 November 2022.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung 4 Februari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top