Kes ugut pempengaruh: Pemandu lori ditahan bantu siasatan

Kes ugut pempengaruh: Pemandu lori ditahan bantu siasatan

KUALA LUMPUR – Polis telah membuat tangkapan kedua dalam siasatan kes ugutan jenayah yang membawa kematian seorang pempengaruh, Rajeswary Appahu atau dikenali sebagai ‘Esha’ di TikTok awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari mengesahkan maklumat terbaharu itu ketika dihubungi pagi tadi.

Katanya, suspek kedua itu dipercayai melakukan ugutan menggunakan akaun TikTok ‘@DulalBrothers’,  seorang warga tempatan yang ditahan sekitar jam lebih kurang 6.30 petang, semalam.

“Saya boleh sahkan polis telah berjaya menahan seorang lagi suspek iaitu pemandu lori berusia 44 tahun semalam di kawasan Setapak untuk membantu siasatan lanjut dalam kes ini,” katanya kepada MalaysiaGazette pagi tadi.

Siasatan akan dilakukan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah, jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

“Siasatan turut dikendalikan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar perkhidmatan rangkaian serta kemudahan rangkaian dengan menyebarkan kenyataan jelik dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (Kelakuan Aib),” ujarnya.

Semalam, Ahmad Sukarno mengesahkan perlanjutan reman dua hari ke atas suspek pertama kes berkenaan iaitu seorang wanita berusia 35 tahun yang ditahan Isnin lalu di Bukit Beruntung Golf Resort, Rawang untuk siasatan lanjut.

Katanya, setakat ini keluarga mangsa antara sembilan saksi telah direkod keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Polis juga sedang menunggu jawapan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi semakan maklumat butiran pengenalan diri pemilik akaun lain yang turut terlibat dalam kejadian itu.

Katanya, siasatan polis mendapati pengadu telah terlihat dua hantaran di aplikasi tersebut di bawah penama @DulalBrothers dan @Alphaquinnsha dalam fitnah dan ugutan terhadap Esha pada 3 Julai lalu.

Menurutnya, kedua-dua akaun TikTok terbabit telah menggunakan gambar Rajeswary (Esha) sebagai latar belakang kandungan video yang telah dimuat naik ke akaun masing-masing.

Kandungan tersebut juga didapati mengandungi ugutan dan ancaman kepada Rajeswary (Esha) selain menggunakan kata-kata kesat serta lucah.

Jelas beliau, hasil semakan polis mendapati tohmahan dan fitnah yang dilaporkan  berdasarkan tangkap layar yang dikemukakan oleh pengadu kepada pihak polis, namun ia disyaki telah dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun TikTok terbabit.- MalaysiaGazette

Scroll to Top