Kes Teoh Beng Hock: Polis guna imbasan 3D di lokasi kejadian bantu siasatan semula

Kes Teoh Beng Hock: Polis guna imbasan 3D di lokasi kejadian bantu siasatan semula

mhafis@mediaprima.com.my

Shah Alam: Polis menggunakan peralatan alat imbasan 3D bagi membina semula dalam bentuk 3D lokasi kejadian kes kematian Teoh Beng Hock di Plaza Masalam, di sini, untuk memperkemas siasatan.

Malah anggota bomba yang mempunyai saiz serta ketinggian sama dengan Teoh turut membantu melakukan beberapa senario sama ada mangsa terjatuh sendiri atau dipaksa terjun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kehadiran pasukan polis di sini, sejak 10 pagi tadi untuk melawat semula kawasan tempat kejadian yang berlalu 15 tahun lalu.

Menurutnya, lokasi itu bukan lagi pejabat tetapi tempat penyimpanan stor barang perabot dan pihaknya menggunakan peralatan yang tidak ada 15 tahun lalu.

“Kita cuba membina semula dalam bentuk 3D dan sejauh mana ia dapat membantu dalam memperkemaskan lagi siasatan. Keputusannya akan diperoleh dalam tempoh seminggu ke dua minggu lagi.

“Setakat ini kita sudah memanggil lima saksi lama bertanya soalan yang relevan dengan kes sekiranya ada maklumat baharu yang boleh mereka kongsi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat lawatan semula di lokasi malam ini.

Mohd Suhaily berkata, secara keseluruhan saksi sebelum ini adalah lebih 40 orang dan baru lima dipanggil namun akan ada lagi saksi lain akan dipanggil bagi membantu siasatan.

“Semua sedia maklum kami diarahkan oleh mahkamah untuk mengemukakan hasil siasatan pada bulan Mei ini dan akan melengkapkan siasatan secapat mungkin bagi mendapatkan arahan selanjutnya daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) sebelum diserahkan kepada mahkamah.

“Kehadiran bomba tadi bagi membantu di mana anggota yang mempunyai ketinggian dan saiz badan lebih kurang dengan Teoh melakukan beberapa situasi terjun sendiri atau dipaksa terjun dan sebagainya sama ada boleh atau tidak daripada tingkap itu.

“Ujian itu bagi memuaskan hati bahawa perkara itu boleh berlaku dalam situasi berbeza,” katanya.

Beliau berkata, dron turut digunakan bagi mendapatkan keseluruhan imej bangunan ini dan apabila nanti maklumat itu dijana ia akan memberi gambaran secara keseluruhan.

“Jadi apabila siap 3D itu nanti kita dapat mengkajinya dengan lebih lanjut,” katanya.

Pada 21 November 2024 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan PDRM untuk melengkapkan siasatan kes kematian mendiang dalam tempoh enam bulan.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Teoh terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.

Teoh ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.

Mendiang yang ketika itu ialah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.

#kw teoh beng hock, 3d, plaza masalam, jsj, lawat semula

Tamat

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top