rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Selangor yakin suspek kes tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam, Selangor, pada Sabtu lalu, akan diberkas dalam masa terdekat.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan yang berkata, ini kerana identiti suspek sudah dikenal pasti.
“Polis sudah kenal pasti suspek dan dalam tindakan buruan.
“Polis yakin akan tangkap suspek dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Ditanya mengenai perkembangan siasatan kes itu, Hussein berkata, siasatan masih berjalan dan tidak dapat didedahkan buat masa ini.
Semalam, Harian Metro melaporkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan bekerjasama dengan Polis Kontinjen Selangor bagi mengenalpasti rakan suspek kes tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam.
Kerjasama itu bagi membantu memburu suspek berusia 30-an yang masih bebas dan mempunyai 11 rekod jenayah lampau termasuk dadah.
Dalam kejadian 10.50 malam Sabtu lalu, suspek menembak seorang pekerja pembersihan ketika sedang menyimpan peralatan mencuci di aras P1 dan cedera terkena empat das tembakan di kaki serta punggung.
Suspek kemudian mengacukan pistol ke arah seorang saksi lain lalu mengarahkan membawanya keluar dari pusat beli-belah berkenaan.
Dia selepas itu menahan Perodua Ativa yang dipandu seorang pengunjung sambil mengacukan pistol, memaksa pemandu membawanya keluar dari kawasan Shah Alam lalu meminta berhenti di tepi lebuh raya sebelum menghilangkan diri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dilaporkan berkata, siasatan awal polis mendapati suspek melepaskan tembakan dipercayai akibat berang ditegur pekerja pembersihan supaya mengalihkan barang yang diletakkan di kawasan kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd