mahaizura@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) diarah membuat siasatan rapi dan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) semua masjid dan surau seliaannya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, pihaknya juga akan melihat semua aspek termasuk keselamatan bagi memastikan kejadian pesakit mental lelaki menceroboh sebuah masjid di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Rabu lalu tidak berulang.
Katanya, sekiranya memerlukan penambahbaikan ia akan dilaksanakan selepas menerima laporan terperinci daripada Jawi.
“Saya minta Pengarah Jawi buat siasatan rapi dan pada masa sama melihat aspek keselamatan itu pun, kita akan tengok kalau ada keperluan untuk (perbaiki SOP), namun saya kena tunggu laporan Jawi dan pihak masjid itu terlebih dulu,” katanya selepas Majlis Perasmian Kompleks Akademik Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (UCMI), di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif dan Naib Canselor UCMI, Datuk Prof Dr Noor Inayah Ya’akub.
Beliau mengulas mengenai kejadian lelaki menceroboh masuk sebuah masjid TTDI, Rabu lalu.
Kejadian yang dipercayai berlaku sebelum Solat Subuh itu tular dalam rakaman video menerusi laman Facebook milik seorang individu sejak semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, beliau menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang provokasi terutama membabitkan rumah ibadat selain menaruh keyakinan kepada polis bagi menjalankan siasatan rapi terhadap kes terbabit.
“Saya harap sangat kita hati-hati dalam isu agak sensitif ini dan semua pihak tanpa mengira bangsa menghormati rumah ibadat kerana ini tanggungjawab kita.
“Kita tidak boleh timbulkan provokasi yang boleh menimbulkan kemarahan jadi kita perlu berhati-hati dalam perkara ini.
“Saya harap polis dapat jalankan siasatan rapi dan pastikan kebenaran dapat dikeluarkan hasil laporan itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd