am@hmetro.com.my
Tawau: Seorang pelajar dalam keterangannya sebagai saksi perbicaraan kes kematian pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, mendakwa tiada sebarang panggilan atau makluman kepada ibu bapanya ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu pada Mac tahun lalu.
Saksi pembelaan ke-15 itu mendakwa ketika ditahan kira-kira jam 10 pagi pada 22 Mac lalu, pihak polis tidak menghubungi ibu bapanya atau diberi peluang untuk memaklumkan penahanannya ketika itu.
Menurut pelajar yang mengikuti Sijil Vokasional Malaysia (Akuakultur – Tahap 1) itu, telefon bimbitnya turut disimpan polis menyebabkan dia gagal membuat sebarang panggilan atau menghubungi ahli keluarga.
Berdasarkan Seksyen 85 Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) apabila seorang kanak-kanak ditangkap pegawai polis hendaklah tanpa kelewatan yang tidak munasabah memberitahu ibu bapa atau penjaga bahawa kanak-kanak itu ditangkap dan sebab penangkapan itu.
Ia bertujuan agar ibu bapa atau penjaga dapat hadir dan mengambil bahagian dalam proses undang-undang membabitkan kanak-kanak itu.
Bagaimanapun, sewaktu pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd Khusri, saksi itu bersetuju dengan cadangan bahawa polis mempunyai kaedah tersendiri dalam menjalankan siasatan termasuk ketika melakukan tangkapan.
Batrisyia: Setuju saya katakan, kamu tidak mengetahui semua keterangan atau kronologi kejadian yang kamu tulis atas kertas A4 adalah untuk siasatan dalaman saja.
Saksi: Setuju.
Batrisyia: Setuju saya katakan kamu tidak tahu cara siasatan polis?
Saksi: Setuju.
Bagaimanapun saksi itu yang juga tertuduh terakhir (OKT-13 ) menafikan bahawa semua keterangannya adalah rekaan dan tidak berlaku jujur hanya kerana untuk menunjukkan dirinya tidak bersalah.
Pada 28 Februari lalu, mahkamah memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada jam 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pasukan pendakwaan dibarisi Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nisla Abdul Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada tertuduh diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh serta Chen Wen Jye, manakala lima lagi masing-masing diwakili Abdul Ghani Zelika dan peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo serta Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Prosiding perbicaraan peringkat bela diri di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung pada sesi petang.
© New Straits Times Press (M) Bhd