hafidzul@hmetro.com.my
Kuantan: Polis menyangkal dakwaan tidak menjalankan siasatan secara telus berhubung kematian seorang wanita di sebuah rumah di Bandar D’Marina, Kuantan pada 20 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, polis membuka siasatan mengikut kematian mengejut (SDR) susulan laporan yang dikemukakan pakar forensik kepada pegawai penyiasat.
“Polis menjalankan siasatan sebaik mungkin termasuk sudah merakam keterangan daripada ahli keluarga, suami mangsa dan melihat bukti-bukti yang ada.
“Siasatan tidak di NFA (tiada tindakan lanjut) sebaliknya dijalankan mengikut SDR. Siasatan masih diteruskan, jika terdapat bukti-bukti menjurus ke arah perlakuan jenayah oleh seseorang individu, polis akan membuka siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan seterusnya tindakan akan diambil mengikut prosedur yang ditetapkan termasuk menahan suspek yang terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, keluarga diminta untuk tidak membuat andaian sendiri berhubung siasatan yang dijalankan oleh pihak polis.
“Pihak polis akan memanggil keluarga mangsa untuk diberi penerangan berhubung siasatan kes, kami menjalankan secara telus.
“Keputusan SDR juga diambil berdasarkan laporan forensik yang dikemukakan oleh pihak hospital,” katanya.
Mengulas berhubung dakwaan mangsa pernah membuat laporan polis mengenai keganasan rumah tangga, Wan Mohd Zahari berkata, laporan itu dibuat pada tahun 2017 di Rompin.
“Kejadian kematian ini kita terima pada 20 Mac lalu dan siasatan dilakukan sejurus kematian dimaklumkan oleh ahli keluarga,” katanya.
Terdahulu, kakak mangsa, Khairun Munirah Mohd Karim, 40, menerusi sidang media mendakwa kematian adiknya, Nurul Aina, 37 adalah akibat dibunuh.
Dia mendakwa, Nurul Aina adalah mangsa keganasan rumah tangga sejak awal perkahwinannya dan sudah membuat beberapa laporan polis berhubung kejadian itu sebelum ini.
“Pada hari kejadian adik saya dikatakan tersembam di rumah namun punca kematian yang disahkan oleh pakar forensik menunjukkan ada kecederaan ‘blunt force trauma’ di belakang tengkoraknya.
“Kami hairan bagaimana kes ini diklasifikasikan sebagai SDR dan bukannya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Katanya, dia dan ahli keluarga memohon pihak polis untuk menilai semula siasatan yang dijalankan bagi membela kematian adiknya.
© New Straits Times Press (M) Bhd