am@hmetro.com.my
Tawau: Pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memberitahu ‘dihukum’ polis ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Mac tahun lalu.
Tertuduh pertama (DW6) itu berkata demikian ketika pemeriksaan utama peguam Kamarudin Mohmad Chinki.
Dakwanya dia turut diarahkan melakukan senaman tekan tubi sebanyak 50 kali dan lompat bintang oleh pegawai penyiasat.
Menurutnya, ketika siasatan, mereka turut dipaksa membuat pengakuan berhubung kes pukul yang menyebabkan kematian Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Kolej Vokasional terbabit pada Mac tahun lalu.
“Selagi tidak mengaku pegawai penyiasat akan paksa dan jika saya jawab tidak ada pukul mangsa, saya pula dikatakan menipu dan dihukum (punish) sehingga terpaksa mengaku kerana takut,” katanya.
Bagaimanapun, remaja berumur 18 tahun itu tidak dapat mengingati tempoh masa hukuman itu berlangsung, selain tidak dinasihatkan untuk membuat laporan berhubung hukuman itu.
Kamarudin: Apa perasaan kamu semasa disoal siasat?
DW6: Mula-mula sampai di IPD saya sangka diambil keterangan saja, tapi dia orang paksa kami, akan pukul sampai kami rasa takut
Kamarudin: Adakah kamu menangis waktu itu?
DW6: Masa dalam lokap.
Kamarudin: Adakah kamu dibenarkan menghubungi Ibu bapa kamu ketika itu?
DW6: Tidak.
Sementara itu, ketika sesi pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, remaja itu tidak bersetuju dengan cadangan bahawa dia bersama rakan-rakan telah menuduh Ijat mencuri wang RM50 milik tertuduh ketiga dan RM35 milik tertuduh keempat.
Nur Nisla: Jadi, apa yang kamu katakan bahawa kamu pergi ke Dorm 7 Resak kerana ramai orang adalah bohong, kamu sudah tahu Ijat yang dituduh mencuri duit, setuju atau tidak?
DW6: Tidak setuju.
Nur Nisla: Setuju saya katakan kamu tidak ada bukti pun bahawa Ijat yang mencuri duit yang hilang ini?
DW6: Setuju
Nur Nisla: Setuju saya katakan bahawa tiada orang yang nampak Ijat yang mengambil duit?
DW6: Setuju
Pada 28 Februari lalu, mahkamah memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Prosiding perbicaraan peringkat bela diri di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd