lokman.khairi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menepis dakwaan imej Umno terjejas berikutan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Presiden Umno itu berkata, kes dihadapi Ahli Parlimen Bera itu adalah kes individu dan tiada kaitan langsung dengan Umno.
Beliau juga menegaskan, wang tunai RM170 juta serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta ditemui SPRM juga tiada kena-mengena dengan kutipan dana politik Umno.
“Sebagaimana yang diketahui pendirian pendirian Umno mengenai siasatan yang sedang dilakukan terhadap Ismail Sabri, kita berpendirian Umno tidak pernah terbabit dengan wang dan jongkong emas yang disita oleh SPRM.
“Ia tidak ada kaitan langsung untuk dana politik ataupun kutipan yang dibuat oleh Umno.
“Tiada isu antara ahli Umno, ini adalah kes individu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan susulan.
“Jika tindakan perundangan sekalipun, maka itu terserah kepada SPRM dan juga Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Dalam sidang media pada 3 Mac lalu, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan, wang tunai ratusan jutaan ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Perdana Menteri kesembilan itu.
SPRM berkata, wang tunai yang dirampas itu meliputi nilai dalam Baht, Riyal, Pound Sterling (GBP), Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan.
Susulan rampasan yang dibuat itu juga, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan Ismail Sabri kini dianggap suspek dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram yang disiasat agensi itu dan bukan lagi sebagai saksi.
© New Straits Times Press (M) Bhd