Kes fitnah bekas NC UKM, polis cari penulis blog

Kes fitnah bekas NC UKM, polis cari penulis blog

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Gombak: Polis sedang mengesan penulis atau pemilik blog, susulan dakwaan fitnah membabitkan bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini pihaknya masih mengenal pasti individu itu untuk siasatan lanjut.

Katanya, berhubung kes itu, pihaknya sudah merakam dua keterangan Timbalan Naib Canselor (TNC) dan menunggu masa sesuai untuk merakam percakapan bekas Naib Canselor (NC) terbabit.

“Perkembangan (kes) masih sama dan (kita) sudah rakam dua percakapan TNC dan masih menunggu masa sesuai untuk rakam percakapan (bekas) NC.

“Kita juga sedang mengesan siapa penulis… pemilik blog untuk disiasat,” katanya pada sidang media Op Palu, di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, dua individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan fitnah membabitkan Mohd Ekhwan.

Hussein dipetik berkata, pihaknya menerima dua laporan polis daripada Timbalan Naib Canselor UKM (Hal Ehwal Pelajar) serta Timbalan Naib Canselor Hal-Ehwal Penyelidikan berkaitan dakwaan berkenaan.

Terdahulu, ada pihak mendakwa hasil audit universiti berkenaan menunjukkan berlaku salah guna kuasa dan penyelewengan serta tidak mematuhi proses perolehan yang mengaitkan nama Mohd Ekhwan.

Media turut melaporkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengesahkan menerima surat peletakan jawatan Mohd Ekhwan beberapa hari lalu.

Mohd Ekhwan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Canselor UKM berkuat kuasa Ahad lalu dan memaklumkan sudah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung fitnah dan tohmahan dilontarkan kepadanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top