Kota Bharu: Kes demam denggi di Kelantan mencatatkan penurunan sebanyak 1.7 peratus bagi tempoh 1 hingga 25 Januari lalu, dengan 229 kes dicatatkan berbanding 233 pada tempoh sama tahun lalu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata tiada kes kematian direkodkan dalam tempoh berkenaan.
“Sebanyak 16 wabak denggi dilaporkan setakat 25 Jan berbanding lapan wabak bagi tempoh sama tahun lalu.
“Daripada 16 wabak itu, empat daripadanya telah tamat manakala selebihnya masih aktif,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Zaini berkata sebanyak 21,989 premis telah diperiksa dengan 140 kompaun bernilai RM70,000 dikeluarkan kepada pemilik premis kerana terdapat pembiakan Aedes mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154).
© New Straits Times Press (M) Bhd