am@hmetro.com.my
Tawau: Seorang pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu mendakwa di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, bahawa dia dipaksa menulis pengakuan berhubung kes pukul sehingga membawa kepada kematian Mohamad Nazmie Aizzat di kolej berkenaan, Mac tahun lalu.
Dalam keterangannya sebagai saksi pembelaan pertama (DW1), yang juga tertuduh kelima, remaja berusia 18 tahun itu mendakwa seorang guru disiplin, Cikgu Firdaus, mengarahkannya menulis pengakuan itu pada kertas kosong A4.
Menurutnya, dia tidak bersetuju dengan arahan itu tetapi terpaksa menurut kerana Cikgu Firdaus yang juga guru disiplin di kolej berkenaan.
Remaja itu memberi keterangan itu ketika pemeriksaan balas oleh peguam Kamarudin Mohmad Chinki pada perbicaraan peringkat bela diri di hadapan Hakim Datuk Duncan Sikodol.
Remaja itu turut memaklumkan, dia ada bertemu dengan Cikgu Firdaus sebelum ditahan dan dibawa ke Balai Polis pada 22 Mac 2024.
Kamarudin: Adakah kamu tahu kertas A4 itu diserahkan oleh Cikgu Firdaus kepada polis?
DW1: Tidak tahu.
Kamarudin: Saya katakan kepada kamu bahawa pengakuan yang kamu tulis di dalam kertas A4 itu adalah secara paksa dan bukan atas kerelaan kamu sendiri, setuju?
DW1: Setuju.
Kamarudin: Sekiranya Cikgu Firdaus dipanggil sebagai saksi di mahkamah ini, bolehkah kamu mengecam Cikgu Firdaus?
DW1: Boleh.
Sementara itu, ketika pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya Ng Juhn Tao, remaja itu juga tidak bersetuju dengan cadangan bahawa jawapan dan keterangannya hanya bersifat penafian dan dibuat untuk tidak mengaitkan dirinya bersama rakannya yang dituduh membunuh.
Pada 28 Februari lalu, Duncan memerintahkan 13 remaja berusia 16 hingga 19 tahun untuk membela diri atas pertuduhan bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat di Kolej Vokasional Lahad Datu pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Datuk Ram Singh dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili peguam Abdul Ghani Zelika, termasuk peguam lantikan Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.
Manakala pasukan pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.
© New Straits Times Press (M) Bhd