am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Polis menahan dua lelaki selepas disyaki terbabit dalam satu kes bunuh susulan penemuan mayat seorang lelaki warga asing di sini, bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, bertindak atas maklumat, dua suspek warga tempatan itu ditahan kira-kira 8 malam, pada Ahad lalu.
“Dua suspek yang masing-masing berusia 44 dan 62 tahun itu ditahan di sekitar Taman Maju Jaya di sini.
“Dalam serbuan itu, kita turut merampas barangan yang disyaki digunakan ketika kejadian bunuh itu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Mengulas mengenai kejadian bunuh itu, Raub berjaya, pihaknya menerima satu laporan pada 6.40 petang, 19 Oktober lalu, menyatakan seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di tangga jejantas berhadapan sebuah hotel di Taman Sri Tebrau di sini.
“Siasatan yang dijalankan mendapati mangsa adalah seorang lelaki warga asing, berusia 35 tahun dan (ditemukan) dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan terdapat tiga kesan luka tikaman berukuran tiga sentimeter (sm) hingga 8 sm pada tubuh badannya.
“Mangsa disahkan meninggal dunia akibat kecederaan luka tikaman pada bahagian dada,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurut beliau, kedua-dua suspek didapati mempunyai 21 dan 20 rekod berkaitan jenayah dan dadah, namun tiada rekod sebagai individu dikehendaki.
Katanya, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine.
“Mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula kelmarin hingga Ahad ini bagi membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd