Minggu lalu, kecoh di media sosial seorang bapa menuntut keadilan kes kematian anak bongsu perempuannya, Nour Syifa Rania Asyifaa yang didakwa ‘terjerut’ di buaian oleh pihak polis.
Namun begitu, sudah lebih daripada 37 hari, kes kematian bayi malang tersebut dilihat masih sepi.
Menurut bapa bayi, Yuseri Yusoff , kes tersebut masih belum mengeluarkan sebarang pendakwaan oleh pihak polis, termasuklah mereman individu yang terlibat.
Tambahnya, dia kecewa dengan tindakan yang dilakukan oleh pihak polis dalam menjalankan siasatan semula bagi menuntut keadilan kematian kanak-kanak perempuan berusia setahun tiga bulan itu.
Aktif menuntut keadilan di media sosial dengan menggunakan tanda pagar #justice4babysyifa , Yuseri dilihat hadir bersama dua peguam pemerhati iaitu Muhammad Amin Anuar dan Musfira Mohd Fahmi bagi memberikan keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya pada 29 Mac lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
“Kami hanya ingin jernihkan keadaan dan lebih kepada mahu menuntut pembelaan. Saya telah berbincang dengan peguam pemerhati dan kami bagi masa dua minggu kepada polis (untuk kemukakan siasatan),” katanya.
Dia memaklumkan bahawa dia menghormati polis dan sistem keadilan yang dijalankan, namun dakwaan daripada pihak polis terhadap bukti-bukti yang diberikan seolah-olah tiada perkembangan.
Pada masa yang sama, Yuseri menegaskan, pihaknya bakal mengambil tindakan undang-undang sekiranya tiada perkembangan hasil siasatan daripada pihak polis.
“Kita bersetuju beri ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dan jika tiada sebarang perkembangan selepas tempoh dua minggu, kita akan ambil tindakan selanjutnya berlandaskan undang-undang.” tegasnya lagi.
Sehubungan itu, sekiranya tiada perkembangan lanjut daripada pihak polis, pihaknya akan mengemukakan cadangan supaya inkues tersebut diadakan termasuklah melakukan autopsi semula kepada mayat bayi tersebut.