am@hmetro.com.my
Ipoh: Lapan saksi sudah dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung kes yang tular mendakwa calon pemilihan parti PKR Cabang Tambun melakukan ugutan jenayah dengan menunjukkan objek menyerupai senjata api.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, ketika ini pihaknya sedang mengesan saksi-saksi lain untuk dirakam percakapan.
Katanya, pusat kawalan daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima aduan berhubung perkara itu pada 12.28 tengah hari tadi.
“Pengadu mendakwa berlaku sedikit kekecohan di jamuan hari raya di Dewan Komuniti Taman Indah, di sini yang mana ketika majlis berlangsung seorang ahli politik didakwa mengacukan objek menyerupai pistol kepadanya bagi meminta dia beredar dari lokasi.
“Pengadu yang tidak berpuas hati meminta bantuan polis untuk hadir ke lokasi, manakala video daripada saksi yang nampak kejadian sudah tular di media sosial.
“Semua saksi ini sedang dikesan untuk rakaman percakapan mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah dan setakat ini lapan saksi sedang diambil keterangan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Noor Hisam berkata, pihaknya melakukan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti punca kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk tampil membantu dan tidak membuat sebarang spekulasi yang mengganggu siasatan.
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad menafikan dakwaan beliau mengugut dengan menunjukkan objek menyerupai pistol terhadap penyokong dan calon lawannya dalam pemilihan PKR Cabang Tambun.
Sambil menyifatkan dakwaan itu suatu fitnah berkepentingan politik, beliau memaklumkan sudah membuat laporan polis terhadap individu bertanggungjawab dan mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan selanjutnya.
“Rakyat dapat menilai fitnah-fitnah yang ditimbulkan tepat pada hari pengundian pemilihan parti di Perak pada hari ini iaitu 13 April,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd