Putrajaya: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Kementerian Kewangan pada 2008 menyokong cadangan supaya Menteri Besar Terengganu Diperbadankan (MBTI) mengekalkan sepenuhnya kawalan dalam Terengganu Investment Authority (TIA).
Bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata cadangan tersebut dikemukakan dengan disusuli jaminan oleh Kerajaan Persekutuan bagi penerbitan Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion untuk pembangunan syarikat pelaburan negeri itu.
Saksi pembelaan ke-15 itu dirujuk kepada minit Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) yang disertai beliau bertarikh 12 Dis 2008 dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang ketika itu merupakan Perdana Menteri, telah membentangkan isu berkaitan TIA yang dikatakan sebagai idea Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
“Menurut minit MJM ini, Kementerian Kewangan yang mencadangkan agar Terengganu sendiri mengawal TIA.
“Namun akhirnya pada 2009, (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) selaku Perdana Menteri bersetuju dengan keputusan bersama Jemaah Menteri agar TIA diambil alih oleh kerajaan pusat secara profesional tanpa campur tangan politik,” katanya.
Noh berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, pada perbicaraan kes bekas Perdana Menteri itu berhubung dakwaan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.
Semasa pentadbiran Abdullah, Najib merupakan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Saksi berusia 67 tahun itu berkata Najib juga dilihat seperti tidak mempunyai kepentingan peribadi dan tidak mempunyai kecenderungan dalam pengambilalihan TIA kerana terdapat kelewatan selama empat bulan dalam penyediaan memorandum mengenai perkara itu oleh Kementerian Kewangan.
“Daripada apa yang saya lihat, sejak pembentangan pertama mengenai TIA pada 12 Dis 2008, bayangkan empat bulan kemudian barulah Kementerian Kewangan di bawah pimpinan Najib membentangkan memorandum ini bagi perhatian Kabinet.
“Sekiranya Najib ada kecenderungan, Kementerian Kewangan tidak akan ambil masa hingga empat bulan untuk pembentangan. Selalunya pada pengalaman saya sebagai Menteri Kabinet, sekiranya terdapat arahan Kabinet, kementerian akan buat dengan cepat, kadang-kadang tidak sampai sebulan,” katanya.
Najib dalam keterangannya sebelum ini berkata idea pengambilalihan TIA timbul selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya ketika itu, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, menulis surat kepada beliau dan bekas Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pada 25 Mei 2009, membangkitkan konflik dalaman antara pengurusan TIA dan MBTI.
Menerusi surat itu, Shahrol Azral mencadangkan agar TIA diubah menjadi 1MDB yang dimodelkan berdasarkan dana kekayaan berdaulat Abu Dhabi iaitu Mubadala dan TIA secara rasmi menukar namanya kepada 1MDB pada 25 Sept 2009.
Pada 30 Okt 2024, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap beliau.
Najib, 71, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
Perbicaraan bersambung esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd