PETALING JAYA : Kertas siasatan polis berkaitan isu 3R iaitu agama, bangsa, raja membabitkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah dihantar ke pihak Pejabat Peguam Negara, semalam.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata proses siasatan kedua-dua kes itu sudah lengkap kira-kira 70 peratus.
“Bagaimanapun, ada lagi siasatan yang kita perlu selesaikan dari segi ‘data preservation’ (pemulihan data) dan forensik, ini yang kita perlu uruskan lagi.
“Maka itu adalah siasatan yang akan kita teruskan, InsyaAllah,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman di sini hari ini.
Pada Ahad lalu, PDRM mengesahkan siasatan berhubung isu 3R terhadap kedua-dua pemimpin politik itu akan diserahkan ke pihak Pejabat Peguam Negara selepas kesemua keterangan selesai diambil.
Razarudin berkata, proses merekod keterangan itu dilaksanakan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ Bukit Aman).
Minggu lalu, Bukit Aman mengesahkan sedang menjalankan siasatan terhadap Guan Eng yang dipercayai menyentuh isu 3R dengan mendakwa ‘gelombang hijau’ bakal memusnahkan tokong dan menafikan hak agama di Pulau Pinang.
Kenyataan itu dipercayai diucapkan beliau ketika berucap dalam program ‘Tian Fu Gong Bai Long Wang Singapore – Malaysia Tour 2023’ di Tokong Batu, Jelutong, Pulau Pinang, pada 7 Julai lalu.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Polis turut menyiasat Abdul Hadi susulan satu hantaran di akaun Facebook bertajuk Minda Presiden PAS, pada Sabtu lalu yang mengulas mengenai parti DAP.
Hasil siasatan polis mendapati hantaran berkenaan mengandungi kenyataan berunsur perkauman yang boleh mencetus kegusaran awam.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. –UTUSAN