SHAH ALAM: Industri penyewaan kenderaan di Malaysia mampu untuk kekal berkembang dengan wujudnya peningkatan terhadap penyelesaian mobiliti yang lancar.
Bagi mencapai objektif tersebut pelopor industri penyewaan automotif yang terkenal dengan perkhidmatan sewa bas, khidmat pemandu, penyewaan kereta, dan pajakan menyeluruh di seluruh negara, Mayflower Car Rental Sdn. Bhd.telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan penyedia utama perkhidmatan penggantian bateri dan bantuan tepi jalan (RSA) di negara ini, Bateriku.Com.
Menurut Pengurus Besar Mayflower,Ng Kar Mie,pihaknya yakin dan positif, koloborasi bersama Bateriku.Com akan lebih memantapkan operasi pengangkutan syarikatnya pada masa depan.
“Kerjasama kami bersama Bateriku.com merupakan langkah signifikan dalam meningkatkan kecekapan pengurusan pengangkutan kami.
“Dengan kepakaran, liputan perkhidmatan yang luas serta rekod prestasi yang terbukti, kami yakin kolaborasi ini akan mengukuhkan lagi komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kami,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani MoU antara syarikat tersebut dengan Bateriku.com,di sini baru-baru ini.
Kar Mei berkata, MoU tersebut akan memacu masa depan perkhidmatan automotif yang lebih cerah di Malaysia menerusi kerjasama strategik yang bakal menetapkan standard baharu bagi pengurusan aset pengangkutannya dan RSA di Malaysia.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku.Com, Azarol Faizi berkata,faktor penting
dalam memastikan pengalaman penyewaan kenderaan yang terbaik adalah dengan tersedianya sokongan bantuan kecemasan yang boleh dipercayai, khususnya apabila berlaku kerosakan kenderaan atau kemalangan pada bila-bila masa dan di mana jua.
“Justeru Bateriku.Com sangat teruja dengan kerjasama bersama Mayflower Car Rental, satu jenama yang sinonim dengan kualiti dan kebolehpercayaan dalam industri penyewaan kereta di Malaysia sejak dulu lagi.
“Kerjasama ini mencerminkan visi bersama kami dalam menyediakan perkhidmatan RSA dan penggantian bateri yang lancar, demi memastikan kenderaan-kenderaan milik Mayflower sentiasa bersedia di jalan raya,”katanya.
Mengulas lanjut Azarol Faizi berkata, antara lain kerjasama tersebut bertujuan meningkatkan kecekapan operasi dan mempertingkatkan kualiti perkhidmatan bagi armada Mayflower yang mempunyai lebih 2,000 kenderaan di seluruh Malaysia.
Melalui kolaborasi ini, pengangkutan Mayflower yang merangkumi pelbagai jenis kenderaan seperti sedan mewah, kenderaan pelbagai guna (MPV),kenderaan utiliti sukan (SUV), van pelancongan dan bas persiaran akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan sokongan atas permintaan yang meluas dari Bateriku.com. – UTUSAN