am@hmetro.com.my
Shah Alam: Sejumlah 90 kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Klang selesai dialihkan menerusi Pelan Tindakan Pengalihan Tapak Perkuburan Islam yang terlibat dengan Jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kerja-kerja pengalihan kubur berlangsung empat hari bermula Isnin lalu hingga hari ini, masing-masing membabitkan pemindahan 30 kubur pada hari pertama, 28 (hari kedua), 20 (hari ketiga) dan 12 kubur hari terakhir.
“JAIS, Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berperanan sebagai pihak yang memantau kerja-kerja pengalihan kubur mengikut pelan kerja disediakan termasuk oleh Kementerian Kesihatan (KKM), dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd.
“Sepanjang proses pengalihan kubur, pihak waris dan orang awam dilarang mendekati kawasan bagi memastikan langkah-langkah kesihatan, keselamatan dan kelancaran semua kerja-kerja yang berlaku di lapangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shahzihan berkata, pemakluman awam kepada waris untuk membuat pengecaman plot kubur ahli keluarga dilakukan sebelum 5 Januari lalu, manakala pemakluman kerja pengalihan dibuat oleh JAIS menerusi pengumuman di semua masjid dan surau kebenaran solat Jumaat di Selangor selama tiga kali berturut-turut iaitu 20 Disember 2024, 27 Disember 2024 dan 3 Januari 2025.
“Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pula membuat hebahan awam melalui Facebook Rasmi, manakala MRL membuat pemakluman hebahan awam melalui laman sesawang dan papan tanda di tapak.
“JAIS bersyukur dan berterima kasih kepada semua agensi yang terbabit dalam memastikan pengalihan 90 plot kubur di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang disempurnakan dengan lancar,” katanya.
Beliau berkata, pihak JAIS juga berterima kasih kepada ahli waris yang memberi kerjasama penuh ketika proses pengalihan kubur dibuat.
“JAIS akan mengadakan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa untuk jenazah yang terlibat dalam pengalihan kubur dalam tempoh terdekat dan semua ahli waris akan dimaklumkan mengenainya kelak,” katanya.
‘Jenazah ayah masih elok, kakinya bengkok jadi lurus, tidak reput’
© New Straits Times Press (M) Bhd