'Kerja pembinaan SUKE perlu nampak selamat'

'Kerja pembinaan SUKE perlu nampak selamat'

faris.fuad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: “Arahan kerajaan supaya pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dihenti serta-merta memang wajar kerana akan memberi masa kepada pihak terbabit mengambil langkah bagi memastikan kerja pembinaan benar-benar selamat,” kata seorang kakitangan swasta, Syahmi Daniel.

Syahmi, 30, penduduk di kawasan pembinaan itu berkata, arahan itu juga tepat supaya pemaju dan kontraktor dapat melaksanakan segala aspek diperlukan untuk meyakinkan orang ramai dan penduduk bahawa projek ini selamat.

“Kami tak bantah projek pembangunan, ..tapi projek ini perlu nampak selamat dan meyakinkan orang ramai dengan ciri keselamatan serta tidak mendatangkan kesusahan teruk kepada pengguna jalan,” katanya yang juga penduduk kawasan itu.

“Sebenarnya sudah banyak kemalangan di kawasan pembinaan SUKE, cuma yang terbaharu ini mengakibatkan tiga pekerja maut. Itu yang kecoh dan mendapat liputan media. Saya setuju projek pembinaan itu dihentikan sementara. Namun, jangan sekadar tutup tanpa sebarang tindakan dan langkah menambah baik aspek keselamatan. Kena wujudkan satu pelan khusus bagi memastikan kejadian itu tidak berulang lagi,” katanya ketika ditemui BH, dekat kawasan tapak pembinaan itu, hari ini.

Sementara itu, penghantar barang yang juga hampir setiap hari melalui kawasan pembinaan SUKE, Muhammad Nazir Mohin, 36, berkata pihak berkuasa perlu pasang lebih banyak papan tanda amaran, sebagai panduan peringatan kepada pengguna jalan raya terutama di kawasan pembinaan.

“Notis amaran dan panduan trafik terutamanya perlu diperbanyakkan di beberapa lokasi utama sebelum masuk kawasan ini untuk panduan penduduk,” katanya yang mengakui berasa bimbang keselamatannya setiap kali melalui kawasan pembinaan itu.

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Teh berkata, kejadian itu sewajarnya menjadi pengajaran kepada pihak SUKE untuk mengutamakan aspek keselamatan dan nyawa pekerja serta orang ramai.

“Kadang-kadang saya tengok mereka bekerja di bawah terik matahari tanpa rehat. Mungkin boleh beri mereka rehat pada waktu tertentu untuk mengelakkan kecuaian dan kejadian tidak diingini,” katanya yang juga penduduk kawasan pembinaan itu.

Pagi semalam, lima buruh asing dan seorang warga tempatan dilaporkan terbabit dalam kejadian komponen kren gantri terjatuh di tapak pembinaan Lebuhraya SUKE.

Dua buruh asing warga China maut terjatuh dari ketinggian 40 meter, seorang lagi yang juga warga China maut kerana tersepit pada struktur besi dan mayatnya belum dapat dikeluarkan. Dua lagi pekerja selamat. Pemandu kereta yang ditimpa serpihan gantri itu

cedera pada leher dan mendapat rawatan di Hospital Canselor Tuanku Mukhriz.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top