Kuala Lumpur: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan dakwaan bahawa Kerajaan Madani menggunakan sewenang-wenang Akta Hasutan 1948 [Akta 15] terhadap orang awam adalah tidak benar sama sekali.
Beliau berkata, perkara itu berdasarkan kepada tiada lonjakan kes yang disiasat di bawah akta itu direkodkan sejak 2015.
“Sewenang-wenang bermaksud lonjakan angka kes yang disiasat, tapi faktanya tidak menunjukkan begitu. Ada tiga tahun jumlah kes yang dibuka kertas siasatannya melebihi 100.
“Ia berlaku pada tahun 2023 ada 120 (kertas siasatan dibuka), 2020 sebanyak 117 kertas siasatan dan 2015 sebanyak 109. Jadi angkanya lebih kurang sama sahaja, tidak adalah dikatakan sewenang-wenang,” katanya pada sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, dari segi pendakwaan pula daripada 109 kertas siasatan yang dibuka pada 2015, lapan kes telah didakwa di mahkamah.
“Pada tahun 2020 daripada 117 kertas siasatan, 30 kes telah didakwa dan pada tahun lepas, lapan kes daripada 94 kertas siasatan yang dibuka juga dibawa ke mahkamah. Jadi istilah sewenang-wenang boleh hentikanlah, tak ada langsung,” katanya.
Beliau berkata, antara perbuatan yang membolehkan seseorang itu didakwa di bawah akta berkenaan adalah menghina dan menjatuhkan maruah serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong, selain menyentuh sensitiviti agama yang berpotensi untuk mencetuskan ketegangan kaum dan merosakkan keharmonian negara.
Sementara itu, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan benar-benar mempraktikkan kebenaran berhimpun sepertimana yang termaktub dalam Perkara 10(1)b Perlembagaan Persekutuan apabila 99 peratus daripada 7,000 notifikasi perhimpunan aman yang diterima berjalan secara aman tanpa halangan sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, pada 2023 pula, hampir 10,000 notifikasi perhimpunan aman diterima polis dengan 98 peratus daripadanya berlangsung tanpa sekatan.
“Anjakan yang kita buat terhadap Akta Perhimpunan Aman 2012 ini ialah kita akan pinda dengan hanya memerlukan pihak penganjur memaklumkan (penganjuran perhimpunan), izin tuan punya premis juga tidak diperlukan apabila pindaan akta ini disokong Yang Berhormat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelancong China dan India menyumbang lebih RM20 bilion sepanjang tahun lalu selepas kerajaan melaksanakan Pelan Liberalisasi Visa dengan pemberian pengecualian visa kepada pelancong daripada kedua-dua negara itu bagi suatu tempoh.
Beliau berkata, sepanjang tempoh 1 Dis 2023 hingga 15 Dis 2024, pelancong China menyumbang RM16 bilion manakala pelancong India RM4.3 bilion, katanya.
“Peranan KDN pastikan keselamatan pelancong juga terjaga. Kita tingkatkan rondaan di kawasan tumpuan ramai pelancong, tambah kamera litar tertutup di lokasi pelancongan utama dan polis menambah polis pelancong,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd