Kerajaan sedang muktamad program bagi bantu penoreh raih pendapatan tetap

Kerajaan sedang muktamad program bagi bantu penoreh raih pendapatan tetap

KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang memuktamadkan konsolidasi pekebun-pekebun kecil mengikut kluster bag membantu meningkatkan produktiviti sektor huluan.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, usaha tersebut akan membantu meningkatkan kapasiti, mencapai skala ekonomi dan melibatkan ketiga-tiga tahap dalam rantaian nilai industri getah.

Selain itu, menurut beliau, ia juga dipercayai dapat menarik minat penoreh melalui pendapatan yang tetap dan stabil.

Jelasnya, sebanyak 10 siri perbincangan bersama pemegang taruh diadakan termasuk Lembaga Getah Malaysia, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) .

“Melalui perbincangan ini, 10 kriteria utama telah dikenal pasti iaitu antaranya peserta program, sasaran kawasan dan sebagainya.

“Skop bantuan juga sedang diteliti seperti pembersihan dan penyelenggaraan ladang, kos pemulihan infrastruktur, pembinaan Pusat Mengumpul Getah (PMG) serta pemberian peralatan,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Johari berkata, program tersebut akan memberi peluang pekerjaan untuk masyarakat luar bandar terutama generasi mudah melalui penawaran upah tetap, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan faedah lain.

“KPK bercadang untuk mengadakan tiga fasa pelaksanaan iaitu fasa pertama adalah persediaan dan perancangan untuk tempoh enam bulan, fasa kedua pula adalah pemulihan dan penyenggaraan yang akan mengambil masa dari tujuh ke 12 bulan.

“Fasa terakhir pula pengeluaran hasil yang akan mengambil masa hingga 12 bulan dan seterusnya,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top