Kerajaan sasar eksport komoditi pertanian RM300 bilion

Kerajaan sasar eksport komoditi pertanian RM300 bilion

PETALING JAYA: Sebanyak RM309 bilion disasarkan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi eksporti komoditi negara pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, nilai tersebut menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya iaitu RM204 bilion.

Katanya, penetapan sasaran dibuat berdasarkan peningkatan prestasi industri pertanian negara seperti kelapa sawit, kayu-kayan, lada dan koko.

“Unjuran nilai industri komoditi pertanian global dianggarkan berjumlah AS$756 bilion (RM3.19 trilion) jadi sektor ini memberikan peluang yang luas buat kita untuk meningkatkan nilai eksport dan keluaran dalam negara kasar (KDNK),” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pra-pelancaran Ekspo dan Sidang Kemuncak Komoditi Pertanian Antarabangsa Malaysia (MIACES) 2022 di sini semalam.

MIACES 2022 bakal diadakan di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 26 hingga 28 Julai ini menyasarkan penyertaan sehingga 20,000 pengunjung, dan 250 syarikat dari pelbagai negara.

Dalam pada itu Zuraida berkata, setakat ini sebanyak 15 buah negara asing telah mengesahkan penyertaan mereka di ekspo berkenaan termasuk Bangladesh, India, Sri Lanka, Indonesia dan Iran.

“Menerusi penganjuran ini, kita mahu semua produk komoditi diberi peluang untuk diketengahkan selain menaik taraf produk sedia ada menerusi pelbagai kajian teknologi.

“Apa yang paling penting, pemain industri tempatan dan mewujudkan jalinan kerjasama antarabangsa, sekaligus dapat membuktikan kualiti serta keupayaan produk di peringkat antarabangsa,” jelasnya.-UTUSAN