Kerajaan runding kos dengan negara sumber pembantu rumah

Kerajaan runding kos dengan negara sumber pembantu rumah

suzalina@bh.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang melaksanakan rundingan lanjut dengan negara sumber membabitkan Bangladesh, India, Nepal dan Sri Lanka bagi membincangkan kos pengambilan pekerja asing sebagai pembantu rumah.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, sehingga kini kos pengambilan pekerja asing sudah dimuktamadkan dari Vietnam, Kemboja dan Indonesia.

Menurutnya, dalam memuktamadkan rundingan bersama negara sumber berhubung kos pengambilan pekerja asing, kerajaan akan memastikan elemen menang-menang kepada pihak berkepentingan.

“Rundingan juga akan mengutamakan amalan pengambilan secara adil yang disarankan Pertubuhan Buruh Antarabangsa.

“Penetapan kos adalah satu komitmen bersama antara negara sumber dan negara penerima. Justeru, pemantauan kepada pihak terbabit dengan aktiviti perekrutan perlu diperkasakan.

“Ia bukan sahaja di negara penerima, tetapi juga di negara sumber bagi memastikan kos pengambilan terkawal,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) mengenai inisiatif kementerian dalam memudahkan proses dan mengurangkan kos pengambilan pekerja asing.

Pada masa sama, Abdul Rahman berkata, kerajaan tidak bercadang untuk memanjangkan tempoh jangka masa bekerja bagi pekerja asing di negara ini.

Beliau berkata, ia berikutan kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan pekerja asing dengan melaksanakan penstrukturan semula pasaran buruh negara.

“Bagi penggajian pekerja bukan pemastautin di Sarawak, tempoh maksimum seorang pekerja bukan pemastautin dibenarkan bekerja ialah enam tahun kecuali bagi ladang kelapa sawit berkeluasan 40.47 hektar dan ke atas iaitu 10 tahun.

“Majikan hendaklah memastikan supaya pekerja bukan pemastautin yang tamat tempoh perkhidmatan dihantar pulang ke negara asal dengan memohon Memo Periksa Keluar daripada Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen),” katanya.

Katanya, jika pekerja bukan pemastautin yang digaji oleh majikan masih berminat untuk bekerja dengan majikan sama, mereka boleh terus digaji oleh majikan selepas tempoh tiga bulan pekerja berkenaan kembali ke negara asal dan masuk semula ke Malaysia.

“Ia bagaimanapun tertakluk kepada polisi dan bidang kuasa kerajaan negeri mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top