Kerajaan rangka inisiatif pastikan Institusi Huffaz diperkasa – Ahmad Zahid

Kerajaan rangka inisiatif pastikan Institusi Huffaz diperkasa – Ahmad Zahid

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan merangka beberapa inisiatif utama bagi memastikan institusi huffaz terus berkembang secara sistematik dan kekal relevan dengan keperluan semasa.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, antaranya Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN 2.0) yang sedang dibangunkan akan memastikan pendidikan tahfiz lebih tersusun dan berkualiti.

“Penambahbaikan kurikulum, penyelarasan akreditasi, serta peningkatan infrastruktur dan sumber kewangan menjadi keutamaan dalam memastikan institusi tahfiz melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing.

“Dalam usaha memperkukuh pengiktirafan terhadap penghafaz al-Quran, kerajaan sudah memperkenalkan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 (STM 2.0) yang bukan sahaja menilai hafazan 30 juzuk, tetapi turut menguji pemahaman serta ilmu Islam lain yang berkaitan.

“Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) turut diperkenalkan sebagai pengiktirafan rasmi kepada huffaz berdasarkan tahap hafazan yang dicapai.

“Peperiksaan ini dijalankan dua kali setahun dan dianugerahkan oleh Darul Quran Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim),” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook (FB), hari ini.

Beliau berkata, selain pendidikan agama, generasi huffaz juga perlu didedahkan kepada kemahiran teknikal dan vokasional yang relevan dengan keperluan industri.

“Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, kami memperkenalkan inisiatif TVET-Tahfiz sebagai satu game-changer dalam sistem pendidikan negara.

“Program ini membuka ruang kepada para huffaz untuk menceburi bidang teknik dan vokasional tanpa mengorbankan keunggulan mereka sebagai penghafaz al-Quran,” katanya.

Menurutnya, di peringkat awal, usaha menanam kecintaan terhadap al-Quran perlu bermula sejak usia kanak-kanak.

“Menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kita memperkenalkan Pra-Tahfiz Tabika Kemas bagi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai hafazan al-Quran.

“Program ini bukan sahaja membina asas kukuh dalam pendidikan tahfiz, tetapi juga menanam nilai-nilai Islam yang akan membentuk jati diri mereka sejak kecil.

“Malah, ia mampu menjadi asas kepada sasaran kita adalah untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang tahun 2050. Ini bukan sekadar angka, tetapi satu visi besar untuk mengangkat martabat Malaysia sebagai pusat rujukan pendidikan al-Quran bertaraf dunia,” katanya.

Katanya, sebagai simbol kesungguhan dalam memartabatkan huffaz, Himpunan 25K Huffaz akan dianjurkan sekali lagi tahun ini sebagai manifestasi kepada usaha kolektif dalam mengangkat martabat institusi tahfiz dan meraikan huffaz yang menjadi penyuluh kepada masyarakat.

“Justeru, saya menyeru ibu bapa, komuniti, sektor swasta, dan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyokong usaha memartabatkan institusi huffaz.

“Bersama, kita dapat memastikan institusi ini terus berkembang dan kekal relevan dalam melahirkan generasi al-Quran yang cemerlang, berilmu, dan berdaya saing,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top