am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beberapa parti komponen utama dalam Kerajaan Perpaduan bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) bersetuju untuk menubuhkan Sekretariat Perpaduan Ilmuwan Islam Malaysia (SPIIM).
Persetujuan itu dicapai hasil pertemuan beberapa ilmuwan dan wakil daripada Umno, PKR dan Amanah dalam Majlis Ramah Mesra Ilmuwan Islam di Putrajaya, Rabu lalu.
Setiausaha Majlis Ulama Umno (MUU) Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata, mesyuarat akan diadakan dalam tempoh terdekat untuk mewujudkan kerangka kerja dan hala tuju SPIIM.
Katanya, penubuhan SPIIM itu antara lain ada bermatlamat untuk memperkasakan Islam di Malaysia.
“Pertemuan awal ini menghasilkan persetujuan bersama penubuhan SPIIM. Mesyuarat akan diadakan terdekat untuk kerangka kerja dan hala tuju SPIIM ke arah memperkasakan Islam dalam negara Malaysia tercinta,” katanya menerusi Facebook, kelmarin.
Beliau turut memuat naik beberapa gambar menunjukkan pertemuan dan perbincangan antara beberapa ilmuwan Islam dan wakil parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan.
Antara yang hadir termasuklah Pengerusi MUU, Datuk Dusuki Ahmad; Penasihat Umum Amanah, Datuk Seri Ahmad Awang; Setiausaha Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Muhamad Muszaki Mohd Ozir dan Presiden Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abd Hamid.
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
© New Straits Times Press (M) Bhd