Kerajaan negeri masih tunggu laporan siasatan kes Faisal Halim – Exco Sukan

Kerajaan negeri masih tunggu laporan siasatan kes Faisal Halim – Exco Sukan

sukan@hmetro.com.my

Shah Alam: Kerajaan negeri masih menunggu laporan siasatan insiden simbah asid terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim sehingga kini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Najwan Halimi bagaimanapun berkata, tiada maklum balas diterima dari Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sehingga kini kita pun masih tidak mengetahui status beliau yang kali terakhir yang kita maklumkan oleh Speaker, beliau telah menulis surat kepada pihak polis memaklumkan tentang usul yang dipersetujui secara konsesus dalam sidang yang lepas.

“Dalam surat itu, kita meminta siasatan menyeluruh dan meminta laporan siasatan berkenaan didedahkan kepada khalayak umum.

“Tetapi sehingga kini, kita masih tidak menerima sebarang maklum balas,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata, demikian menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Mohd Shafie Ngah (PN-Sungai Ramal) yang ingin mengetahui status siasatan terhadap kes terbabit.

Pada persidangan Julai lalu, usul tergempar mengecam perbuatan ekstrem dan keganasan terhadap atlet diluluskan secara konsensus oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang antara lain mendesak supaya siasatan menyeluruh dilakukan terhadap kes berkenaan dan dapatan kes didedahkan untuk pengetahuan awam.

PDRM disarankan supaya segera mendedahkan siasatan terkini termasuk pelaku kejadian simbahan asid terhadap pemain Selangor FC, Faisal Halim dan dua lagi pemain lain.

Perkara itu antara yang dibangkitkan dalam usul mengecam keganasan terhadap atlet Selangor yang diluluskan DUN Selangor selepas mendapat sokongan penuh daripada kesemua ADUN termasuk pembangkang.

Pada 5 Mei lalu, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 26 tahun itu dilaporkan mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top