Kerajaan negeri junjung titah Sultan Pahang, iltizam kukuh pentadbiran – Wan Rosdy

Kerajaan negeri junjung titah Sultan Pahang, iltizam kukuh pentadbiran – Wan Rosdy

KUANTAN: Kerajaan negeri menjunjung titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya memperkemaskan dan mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan awam demi kepentingan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau yakin dan percaya, jentera kerajaan Pahang akan terus memberikan perkhidmatan terbaik buat rakyat dan pelabur di negeri ini.

“Sebelum ini, beberapa pendekatan baharu telah diperkenalkan bagi mengurangkan karenah birokrasi iaitu dengan menurunkan kuasa (tanah) kepada pegawai daerah, penubuhan dan penyusunan semula beberapa agensi seperti Perbadanan Pasir Pahang, Pahang Mining Corporation dan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Pahang, agar urusan berkaitan hasil bumi dan tanah dapat diperkemaskan dan seterusnya membantu peningkatan hasil kerajaan negeri.

“Selaras titah dan pesanan Paduka Baginda Tuanku jua, setiap hasil yang diperolehi, akan dikembalikan semula kepada rakyat dan negeri melalui pelbagai inisiatif seperti program Insentif Makmur Pahang dan juga projek-projek pembangunan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy dalam pada itu menjunjung kasih ke sisi Al-Sultan Abdullah atas perkenan melantik Datuk Nazri Abu Bakar selaku Setiausaha Kerajaan Pahang yang baharu.

“Selaras pelantikan tersebut, terdapat beberapa perubahan dalam pentadbiran kerajaan Pahang dengan kekosongan Pegawai Kerajaan Negeri diisi oleh Datuk Fadzilla Salleh sebagai Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Hamdan Hussin sebagai Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Pahang dan Datuk Razihan Adzharuddin sebagai Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang.

“Pelantikan Nazri, anak kelahiran Pekan, serta perubahan dalam beberapa perjawatan lain dalam pentadbiran akan meneruskan tradisi kecemerlangan kerajaan negeri sejak dahulu, kini dan pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top