Pelabuhan Klang: Kerajaan sedang mengkaji model kerjasama dalam isu eksplorasi perikanan laut dalam bagi mengurangkan isu pencerobohan nelayan Vietnam ke perairan Malaysia.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan sebagai agensi utama manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula menjalankan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti pencerobohan itu.
“Di peringkat KDN, kita melihat model perjanjian Kesatuan Eropah dan Maghribi dalam menyelesaikan isu ini.
“Jadi itu antara model yang kami sedang teliti dari segi peraturan dan undang-undangnya… dari segi kerjasama operasinya.
“Kalau dilihat dari segi model kerjasama itu, Sepanyol antara negara manafaatkannya. Kajian di peringkat KDN sedang dijalankan sementara menunggu keputusan daripada pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan yang mengetuai dalam isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Op Khas Pagar Laut 2025 di atas Kapal Maritim (KM) Tun Fatimah di jeti Pusat Hidrografi Nasional di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Awang Alik Jeman, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah.
Mengulas lanjut katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Vietnam sudah bersetuju untuk meneroka kerjasama eksplorasi berkenaan.
Beliau berkata, jumlah nelayan laut dalam Vietnam yang memasuki perairan wilayah negara adalah terlalu besar.
“Menerusi penguatkuasaan, kita (Maritim Malaysia) menangkap, siasat dan bawa ke mahkamah, manakala kapal dimusnahkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd