Kerajaan jamin pelarasan pencen ATM tidak ditarik jika menang kes mahkamah

Kerajaan jamin pelarasan pencen ATM tidak ditarik jika menang kes mahkamah

Kuala Lumpur: Kerajaan memberi jaminan bahawa penyelarasan pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum dan selepas 1 Jan 2013, tidak akan ditarik balik sekiranya kerajaan menang dalam kes di Mahkamah Rayuan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendirian kerajaan bahawa kaedah pencen bagi pesara sebelum dan selepas 1 Jan 2013 adalah sama kerana formula tidak pernah diubah dan dilaksanakan secara teratur di bawah Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) 1982.

“Dalam kata lain, kerajaan berpendirian tidak ada pun perbezaan dalam formula pencen bagi anggota yang tamat perkhidmatan sebelum dan selepas 1 Jan 2013.

“Saya beri jaminan kerajaan mematuhi dan mengikut perintah yang akan diberikan Mahkamah Rayuan pada Mei nanti dan saya juga beri jaminan, jika kerajaan menang dalam rayuan ini, penyelarasan pencen yang sudah dilakukan tidak akan terkesan atau ditarik balik,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Pertahanan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan sudah menyelaraskan pencen dengan cara yang sewajarnya dan pelarasan itu dibuat seperti diarahkan Mahkamah Tinggi.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan memerlukan ketetapan dan pencerahan daripada Mahkamah Rayuan berikutan pelarasan pencen bagi veteran yang bersara sebelum Januari 2013 telah diberikan dengan cara dan kadar yang sepatutnya.

“Kes ini adalah kes interpretasi undang-undang. Kerajaan memerlukan panduan dan perintah daripada Mahkamah Rayuan tentang apakah yang dimaksudkan oleh Mahkamah Tinggi bahawa tidak wujud pelarasan pencen.

“Apakah yang dimaksudkan oleh Mahkamah Tinggi dengan cara dan kadar seperti yang diselaraskan semua pencen pesara selepas 1 Jan 2013,” katanya.

Kerajaan, Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Majlis Angkatan Tentera Malaysia telah merayu ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepada 50 pesara ATM yang menyaman mereka berhubung pelarasan pencen bagi pesara yang bersara sebelum 1 Jan 2013.

Pada 5 Feb tahun lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Dr Suzana Muhammad Said memutuskan bahawa semua pesara ATM yang bersara sebelum 1 Jan 2013 berhak menerima pelarasan pencen mengikut kadar dan kaedah digunakan untuk pesara yang bersara selepas tarikh tersebut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top