am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan memberi jaminan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara akan terus terjamin walaupun langkah penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diambil nanti.
Menurut Kementerian Kewangan (MOF), ini kerana, konsortium ini diterajui oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) iaitu Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi pemilikan majoriti saham 70 peratus.
“Kerajaan juga mengekalkan pegangan saham khas atau ‘golden share’ dalam MAHB, yang memberi hak atas pelantikan pengerusi dan pengarah urusan MAHB, bagi memastikan hala tuju syarikat itu selari dengan kepentingan negara,” katanya melalui jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, semalam.
Ia bagi menjawab soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang meminta menteri kewangan menyatakan asas keputusan kerajaan dalam membenarkan pihak asing memiliki kepentingan signifikan dalam aset strategik negara seperti lapangan terbang, pelabuhan, atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tanpa menjejaskan kepentingan rakyat dan ekonomi negara.
Pada masa sama, menurut MOF, kerajaan mempunyai beberapa dasar dan pendekatan dalam mengawal dan memandu pelaburan asing dalam aset strategik negara untuk memastikan manfaat ekonomi dapat dimaksimumkan, sementara menjaga kedaulatan dan kepentingan negara.
Katanya, antara dasar dan pendekatan utama yang berkaitan dengan pelaburan asing dalam aset strategik termasuk Dasar Pelaburan Negara, Akta Penggalakan Pelaburan 1986 serta pemberian insentif untuk pelaburan asing terutama pelaburan asing yang berimpak positif kepada ekonomi tempatan.
“Dalam memastikan kepentingan negara terjamin, penilaian pelaburan asing dalam aset strategik akan dilaksanakan jawatankuasa khas bagi menilai kesan pelaburan tersebut terhadap ekonomi, keselamatan negara, serta kepentingan sosial dan alam sekitar.
“Dasar kerajaan mengenai pelaburan asing dalam aset strategik negara adalah untuk mengimbangi antara menarik pelaburan asing bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama menjaga kepentingan strategik negara, memastikan kedaulatan ekonomi dan sosial tetap terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd