Kerajaan fokus pulih 560 kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global

Kerajaan fokus pulih 560 kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberikan bantuan psikologi asas dan saringan psikometrik terhadap 560 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi perhatian serius terhadap aspek pemulihan kanak-kanak yang diselamatkan melalui Op Global.

Katanya, satu proses pemulihan dari aspek sosial dan psikologi dilaksanakan secara berterusan oleh pelindung dan pegawai psikologi dalam memastikan kanak-kanak itu menerima intervensi komprehensif sewajarnya.

“Antara bantuan asas psikologi yang diberikan ialah Psychological First Aid (PFA), iaitu satu sistem sokongan psikososial awal dan praktikal yang disediakan dalam situasi krisis.

“PFA bukannya sesi kaunseling atau intervensi psikiatri, tetapi pendekatan psikologi berasaskan kepada membina harapan positif serta memberi ruang kepada kanak-kanak agar berasa difahami dan didengari serta meminimumkan impak psikososial meliputi kesan fizikal, sosial dan emosi kepada individu yang mengalaminya sebelum kaunseling dapat dilaksanakan.

“PFA memberi fokus kepada lima elemen asas bagi perubahan klien iaitu keselamatan (safety), ketenangan (calming), efikasi kendiri (self-efficacy), keterhubungan (connectedness), dan pengharapan (hope),” katanya dalam jawapan bertulis di laman web Parlimen Malaysia.

Beliau menjawab pertanyaan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH- Bandar Kuching) mengenai bilangan pelindung kanak-kanak yang ditugaskan serta langkah sokongan kaunseling trauma jangka panjang yang disediakan untuk kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global.

Nancy berkata, saringan psikometrik juga dijalankan ke atas golongan itu bagi mengenal pasti bentuk intervensi bersesuaian dan diperlukan.

“Antara ujian psikometrik yang dijalankan termasuk penilaian kesejahteraan psikologi Ryff untuk menilai tahap kesejahteraan psikologi, Mini Mental State Examination (MMSE) untuk mengenal pasti tahap kecelaruan kognitif, ujian saringan 3M untuk menilai kemahiran membaca, menulis dan mengira serta ujian mengenal pasti simptom trauma dialami.

“Pegawai psikologi akan terus membantu proses pemulihan emosi dan psikologikal mangsa dengan menyediakan perkhidmatan psikopendidikan kepada kanak-kanak yang diselamatkan mengikut keperluan,” katanya.

Katanya, setakat 14 Oktober lalu, seramai 560 kanak-kanak terdiri 283 kanak-kanak lelaki dan 277 kanak-kanak perempuan ditempatkan di lokasi selamat selepas JKM mendapat perintah jagaan sementara oleh mahkamah mengikut peruntukan Seksyen 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611).

“Seramai 884 pegawai JKM yang terdiri daripada pelindung, pegawai diberi kuasa (PDBK) dan pegawai psikologi terbabit dalam siri Op Global ini.

“KPWKM sentiasa komited dalam proses intervensi kanak-kanak ini kerana pendekatan ‘whole of government’ dalam hal ini diperlukan bagi mencapai keberhasilan positif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top