am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Kerajaan akan meneruskan peranannya untuk memulihkan aset berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata keputusan Unit Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (AS) yang memainkan peranan penting dalam siasatan skandal 1MDB diarah dibubarkan tidak penting untuk negara ini.
“Itu tidak penting bagi kita kerana negara kita terus menjalankan proses pemulihan ini bukan sahaja di Amerika Syarikat malah juga Switzerland, United Kingdom, Hong Kong, Singapura dan banyak lagi negara.
“Kita sedang buat pemulihan dan di Amerika Syarikat, kita masih merasakan bahawa Goldman Sachs masih belum buat penyelesaian dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Apresiasi Kecemerlangan Lembaga Koko Malaysia 2025 bertempat di Hotel The Pacific Sutera, di sini, malam ini.
Dilaporkan sebelum ini Goldman Sachs masih belum membayar kerajaan Malaysia sebanyak AS$4.5 bilion.
Disamping itu, beliau turut berkata perkara terbabit juga masih dalam proses arbitrasi.
“Perkara itu masih lagi dalam arbitrasi jadi kita tunggulah keputusan. Tapi, itu akan terus berjalan macam biasa.
“Adanya pertikaian dengan perjanjian pelaksanaan yang mereka (Goldman Sachs) tanda tangani dengan kerajaan sebelum ini. Mereka cuma bayar AS$2.5 bilion. Jadi kita kena lawan dalam proses arbitrasi,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd