Keputusan paling 'kejam' Amorim bantu kecemerlangan United

Keputusan paling 'kejam' Amorim bantu kecemerlangan United

London: Ruben Amorim meraikan kemenangan terbesar sejak mengambil alih Manchester United – dengan sedikit kelegaan selepas membuat keputusan yang dianggapnya paling ‘kejam’ sepanjang tempoh singkat beliau sebagai pengurus.

Pengurus dari Portugal itu menggugurkan penyerang Marcus Rashford dan Alejandro Garnacho atas alasan ‘pemilihan’ untuk perlawanan semalam menentang Manchester City.

Keputusan berani Amorim itu membuahkan hasil dengan kemenangan dramatik 2-1, hasil gol lewat dari Bruno Fernandes dan Amad Diallo.

Amorim menunjukkan kesediaannya untuk berbicara dengan terus terang mengenai tugas besar dihadapinya di Old Trafford yang kelihatan tidak berfungsi selepas beliau menggantikan Erik ten Hag.

Kini, beliau juga membuktikan kesediaannya untuk bertindak, bukan sekadar bercakap, dalam usahanya untuk memaksa perubahan budaya dan taktikal di kelab yang kini berada di tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris.

Bekas pengurus Sporting Lisbon ini menunjukkan kesediaan untuk melakukan penggiliran pemain, tidak takut untuk mengetepikan tonggak utama.

Semalam Rashford dan Garnacho – dua penyerang utama United – dikeluarkan sepenuhnya dari skuad sebagai bukti ketegasan Amorim.

Amorim menjelaskan bahawa keputusan itu adalah masalah ‘pemilihan’ menjelang perlawanan di Etihad, dengan kedua-dua pemain menjalani latihan di pusat latihan United pada pagi perlawanan.

Selepas perlawanan, beliau menegaskan bahawa ia bukan isu disiplin, walaupun menyentuh mengenai piawaian yang beliau harapkan.

“Bagi saya, apa yang penting adalah prestasi dalam latihan, prestasi dalam perlawanan, cara anda berpakaian, cara anda makan, cara anda berinteraksi dengan rakan sepasukan dan memberi semangat kepada mereka,” kata Amorim.

“Semua itu penting dalam konteks kami, permulaan sesuatu apabila kami mahu mengubah banyak perkara, apabila orang di kelab kami kehilangan pekerjaan mereka. Kami perlu menetapkan piawaian yang sangat tinggi, dan untuk itu mereka perlu berjuang untuk tempat mereka dalam pasukan.”

“Hari ini kami membuktikan bahawa kami boleh meninggalkan sesiapa sahaja dari skuad dan masih boleh menang jika kami bermain bersama-sama.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top