am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Sebelum buat keputusan (berpoligami) bincang baik-baik, perlu ada toleransi sebab nak hidup bersama dan mahu pengakhiran yang baik,” kata pelakon Ashraf Muslim, 43, ketika diminta mengulas hasrat pelakon Azlan Komeng, 48, yang ingin berpoligami serta hangat diperkatakan ramai ketika ini.
Ashraf yang kini menjalani kehidupan bahagia bersama dua isteri, Noor Dayana Lokman dan Wan Sakinah Ahmad Saburi berkata, dia juga menasihatkan Azlan supaya berbincang dengan baik bersama isterinya iaitu Nur Nilam Ortiz.
Katanya, perkahwinan adalah perkara baik yang harus dimulakan tanpa ada permasalahan tercetus sebelum mendirikan rumah tangga.
“Apapun keputusan dibuat biarlah harmoni. Benda baik harus dimulakan dengan baik. Jangan perkara baik mula dengan tak baik supaya tiada kekhilafan atau kesan kurang baik selepas itu.
“Faham antara satu sama lain dan dapatkan keredaan bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi orang sekeliling juga.
“Saya doakan buat sesiapa yang nak berpoligami atau apa-apa sahaja perkara dalam hidup. Berkahwin adalah perubahan yang sangat besar, tidak kisah kahwin berapa pun atau bercerai. Fikir kesan dan cari solusi terbaik,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar Gerobok Biru Gempak Gempita Raya, hari ini.
Mengenai isu poligami lagi, kata pelakon drama Seribu Tahun itu, dia menasihati mereka yang ingin berpoligami agar tidak berkongsi secara terbuka mengenainya lebih-lebih lagi dalam media sosial mengenai apa-apa keputusan yang bakal dibuat.
“Hal rumah tangga jangan uar-uarkan kepada masyarakat dan jangan aibkan antara satu sama lain.
“Dalam keluarga, kita perlukan kepercayaan, perkara terbabit susah nak bina. Sekali rosak, susah nak dapatkan balik.
“Elakkan keluar apa-apa kenyataan dalam media sosial isu seperti hal dalam kain atau cerita atas katil. Biarlah cerita rumah tangga membabitkan antara suami isteri sahaja,” katanya.
Pada masa sama, Ashraf juga meminta orang ramai agar tidak mencampuri dalam apa-apa urusan rumah tangga orang lain supaya tidak mengeruhkan keadaan atau mencetuskan sebarang fitnah.
“Pada netizen yang melihat pula, apa sahaja keputusan jangan terus menghakimi sebab kita tidak tahu. Mungkin ada benda baik, kadang-kadang perkara yang baik kalau kita keruhkan akan beri kesan tak baik di sisi agama.
“Berhati-hati bila kita berkongsi dalam media sosial sebab tak tahu spekulasi yang dibangkitkan. Sekarang banyak fitnah dilakukan jari-jemari atau keluar dari mulut,” katanya.
Terdahulu, Nur Nilam mendedahkan Azlan akan berkahwin dan dia mengizinkan kerana menghormati serta menyayangi suaminya.
Susulan pendedahan terbabit, ramai meluahkan simpati terhadapnya yang setia di sisi Azlan ketika suaminya itu hampir lumpuh akibat kemalangan pada 12 Oktober tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd