Keputusan Aniq, Aznil masuk RTG diketahui selepas mesyuarat – Hannah

Keputusan Aniq, Aznil masuk RTG diketahui selepas mesyuarat – Hannah

Mohamad Aniq (kiri), Muhamad Aznil

KEPUTUSAN status rayuan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) untuk Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin disenaraikan dalam program Road To Gold (RTG) hanya diketahui selepas mesyuarat jawatankuasa program itu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, buat masa ini, beliau tidak boleh mengumumkan sebarang keputusan melibatkan program itu yang dipengerusikan bersama Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.

“Seperti saya katakan sebelum ini, semua keputusan masuk atau keluar atlet (dalam RTG) hanya boleh diputuskan oleh jawatankuasa yang dipengerusikan bersama oleh menteri dan Presiden MOM yang turut dianggotai bekas atlet.

“Jadi, kita perlu tunggu mesyuarat dulu sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya ketika ditemui pada Program Sukan Persahabatan Korea & Malaysia: Meraikan Ulang Tahun Ke-40 Dasar Pandang Ke Timur Melalui Sukan di Stadium Juara di sini pada Ahad.

Hannah (dua, kiri) menyaksikan perlawanan persahabatan badminton pada Majlis 'Celerbrating 40th Aniversary of The Look East Policy Friendly Sports Game' di Stadium Juara pada Ahad. - Foto Bernama

Hannah (dua, kiri) menyaksikan perlawanan persahabatan badminton pada Majlis ‘Celerbrating 40th Aniversary of The Look East Policy Friendly Sports Game’ di Stadium Juara pada Ahad. – Foto Bernama

Mesyuarat Jawatankuasa RTG dijangka diadakan selepas Sukan Asia Hangzhou 2022 dari 23 September hingga 8 Oktober ini.

Sebelum ini, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat mengemukakan rayuan kepada Hannah untuk Mohamad Aniq dan Muhamad Aznil disenaraikan dalam RTG.

Keputusan mempertimbangkan semula kelayakan Mohamad Aniq untuk disenaraikan dalam RTG menjadi persoalan apabila atlet berkenaan kini menepati kriteria program itu dengan berada di kedudukan kesembilan dunia.

Ia selepas atlet kelahiran Johor itu berjaya memenangi pingat gangsa acara clean & jerk dengan angkatan 166 kilogram (kg) bagi kategori 61 kilogram di Kejohanan Angkat Berat Dunia yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi, Rabu lepas.

Lebih manis, dia yang melakukan angkatan 125kg bagi acara snatch berjaya mencatat angkatan keseluruhan 291kg sekali gus memecahkan rekod kebangsaan bagi kategori 61kg dan meletakkan beliau di landasan tepat layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Hanya 10 atlet terbaik setiap kategori layak secara automatik beraksi pada Sukan Olimpik Paris 2024. – Bernama

Scroll to Top