Malaysia berhasrat untuk menyediakan platform serta ruang perbincangan mengenai pertahanan yang konstruktif, terbuka dan progresif untuk rakan-rakan dialog strategik semasa tempoh kepengerusian ASEAN tahun depan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini sebagai pendekatan dan langkah ASEAN dalam mendepani cabaran geopolitik, keselamatan dan pertahanan yang lebih mencabar di peringkat global.
Kepengerusian ASEAN 2025, Malaysia mahu sedia ruang dialog
Katanya, dengan tema ASEAN Unity for Security and Prosperity, Malaysia bertekad untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN dengan efektif dan berkesan buat setiap negara anggota demi terus memelihara kestabilan dan keselamatan serantau.
“Adalah menjadi tekad Malaysia untuk meneruskan segala pencapaian yang membawa ASEAN ke tahap yang lebih tinggi sekaligus membawa manfaat kepada setiap komuniti negara-negara anggota dan kesejahteraan serantau,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohamed Khaled yang kini berada di Vientiane, Laos telah menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-18 dan ADMM-Plus ke-11 yang berakhir pada Khamis.
Beliau berkata pada akhir mesyuarat itu, Laos telah menyerahkan kepengerusian ADMM dan ADMM-Plus kepada Malaysia yang turut disaksikan oleh ketua delegasi setiap negara yang hadir ke mesyuarat itu.
Artikel lain: MINDEF perkukuh tatakelola, bendung salah laku warga kementerian
“Tahun 2025 menjadi thaun yang begitu bermakna buat Malaysia. Bukan sahaja kerana Malaysia akan mempengerusikan ASEAN, bahkan ia merupakan ulang tahun ke-10 penubuhan Komuniti ASEAN, malah Malaysia akan melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2025,” ujarnya.
Untuk makluman, Malaysia telah memegang tampung kepengerusian ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015 yang menyaksikan setiap kali kepengerusian dijalankan.
Dalam pada itu, Malaysia juga telah memainkan peranan yang penting dalam memperkukuh kerjasama serantau dan mempertingkatkan integrasi ekonomi ASEAN.
Sumber: Bernama