Kenderaan Malbatt diserang orang awam, 10 pegawai dan anggota selamat

Kenderaan Malbatt diserang orang awam, 10 pegawai dan anggota selamat

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua kenderaan Batalion Malaysia (MALBATT 850-11) yang diatur gerak dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan terbabit insiden serangan oleh sekumpulan orang awam, kelmarin.

Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku jam 5.32 petang waktu tempatan (11.32 malam waktu Malaysia).

Menurut kenyataan, insiden berlaku ketika dua kenderaan ‘Fitted For Radio’ (FFR) MALBATT 850-11 yang dinaiki tiga pegawai dan tujuh anggota dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah sebaik selesai melaksanakan penugasan di Kem Shama.

“Ketika melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di Bandar Tyre, berlaku kesesakan luar biasa. Ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas yang mana terdapat banyak kenderaan ambulans dan bomba di kedua-dua arah.

“Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif cuba memberhentikan kedua-dua kenderaan MALBATT. Hampir 30 orang membaling batu dan memancitkan kesemua tayar kenderaan MALBATT menggunakan senjata tajam,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, bagi mengelak kejadian lebih buruk, ketua pergerakan mengarahkan kenderaan berhenti di tepi jalan selamat dan kekal berada dalam kenderaan bagi menanti bantuan.

Katanya, Lebanon Armed Forces (LAF) tiba di lokasi dan berjaya mengawal keadaan seterusnya membantu mengkoordinasi ‘loader’ bagi membawa balik kenderaan dan anggota ke Kem Marakah sebelum tiba pada jam 7.39 malam waktu tempatan (1.39 pagi waktu Malaysia).

“Tiada sebarang kecederaan dialami oleh pegawai dan anggota terbabit.

“Bagaimanapun kedua-dua kenderaan mengalami beberapa kesan kerosakan,” katanya.

MALBATT 850-11 akan meneruskan rutin tugasan seperti mandat ditetapkan oleh UNIFIL dan semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden itu yang boleh mencemarkan imej ATM serta Kementerian Pertahanan.

Terdahulu, insiden serangan terhadap kenderaan MALBATT 850-11 oleh orang awam di Lubnan yang berjaya dirakam tular di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top