zatuliffah@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan baharu membabitkan kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam melebihi 7.5 tan dan ke atas pada Mei ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, langkah itu diambil berikutan peningkatan kes kemalangan membabitkan kenderaan berat terutama lori sejak kebelakangan ini.
Menurutnya, ketika ini, JPJ bersama pihak berkaitan termasuk Kementerian Pengangkutan sedang meneliti dan memperincikan SOP dan garis panduan berkaitan.
“Antara perkara yang sedang diperincikan termasuk SOP serta tindakan yang akan diambil terhadap pemandu yang memandu melebihi had laju ditetapkan sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Kita nampak memang kes untuk kenderaan perdagangan ini makin meningkat dan salah satu faktornya adalah (pemandu) kenderaan-kenderaan ini membawa kenderaan mereka melebihi had laju yang ditetapkan
“Jadi salah satu langkah untuk mengurangkan kadar kemalangan adalah mengurangkan had laju kenderaan ini.
“Jadi ini yang kita sedang memperincikan dan kita akan umumkan dalam masa terdekat mungkin dalam Mei nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Apresiasi dan Sambutan Hari Raya JPJ Terengganu di pekarangan Dewan Putra JPJ Negeri Terengganu di sini malam tadi.
Menurut Aedy Fadly lagi, antara SOP dan garis panduan baharu itu termasuklah tindakan terhadap kenderaan perdagangan yang melebihi had laju dan larangan kenderaan perdagangan untuk menggunakan lorong kanan disemua jalan utama dan lebuh raya sebelum ini.
Katanya, penambahbaikan itu akan memperincikan SOP dan garis panduan serta tindakan yang akan diambil di peringkat agensi penguat kuasa seperti JPJ dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tambah Aedy Fadly lagi, sebanyak 8,862 kes kemalangan dicatatkan Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri 2025 (HRA 2025) yang bermula 24 Mac lalu hingga 8 April lalu.
Katanya, jumlah itu menunjukkan penurunan berbanding 9,859 kes yang direkod pada Ops HRA 2024.
“Begitu juga jumlah kematian menurun daripada 119 orang pada Ops HRA 2024 kepada 85 orang Ops HRA 2025.
“Penurunan ini antaranya disebabkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan jalan raya hasil program advokasi oleh JPJ dan agensi penguatkuasa yang lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd